Friday, 29 January 2016

7 rakyat Malaysia jadi pengebom berani mati

Ahmad Salman Abdul Rahim (kiri) ketika menyertai militan IS.

Ahmad Salman Abdul Rahim (kiri) ketika menyertai militan IS.
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seramai tujuh rakyat Malaysia dipercayai terlibat dalam serangan berani mati selepas menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, pemuda yang berasal dari Parit Buntar, Perak semalam adalah yang terbaharu dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan.
Malah, daripada jumlah itu, pihak keselamatan negara merekodkan seramai 18 rakyat negara telah terbunuh sama ada ketika menyertai peperangan atau menjadi pengebom berani mati.
Kematian Ahmad Salman yang dikenali sebagai ‘Abu Suleiman’ itu dilaporkan Utusan Malaysia semalam selepas dia menyertai skuda Inghimas yang dipercayai satu kumpulan yang ditubuhkan untuk melakukan serangan nekad terhadap Lapa­ngan Tentera Udara Kuwayris di wilayah Allepo.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tiada pengesahan tentang kematian terbaharu melibatkan Ahmad Salman.
“Kita tidak dapat mengesahkan tentang kematian atau serangan yang dilakukan individu warganegara Malaysia itu kerana kita tiada kaedah tertentu yang mengesahkan tragedi yang berlaku di negara asing itu.
“Namun kita sedang berusaha mencari maklumat tentang perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan menyatakan, 18 rakyat negara telah terbunuh selepas menyertai konflik peperangan di negara bergolak dan masih ada sekurang-kurangnya 46 orang lagi yang masih hidup.
“Maklumat risikan mendapati seramai 72 rakyat negara ada di negara itu,” ujarnya.
Ditanya tentang Ahmad Salman itu, Ayob Khan memberitahu, individu itu sememangnya keluar dari negara untuk menyertai peperangan di Syria.
“Individu itu telah pergi ke Syria pada 31 Januari 2014 dan selepas keluar dari negara menaiki kereta api dari Malaysia ke Thailand. Dia kemudian terbang dari Myanmar ke Nepal, India dan Jordan seterusnya menyusup masuk melalui sempadan Jordan.
“Pada peringkat awal, dia menyertai kumpulan Ajnad Al-Syam untuk bersama Allahyarham Ustaz Mohd. Lofti Ariffin tetapi sejurus Mohd. Lofti meninggal dunia, risikan mendapati dia kemudian keluar dari kumpulan itu dan menyertai IS,” katanya.
Tambah Ayob Khan, sumber risikan juga mendapati, Ahmad Salman yang berkelulusan dari United Kingdom telah berkahwin dan mempunyai anak ketika sedang ‘berjuang’ di Syria.
“Dia telah menyertai satu skuad tempur khas iaitu skuad barisan hadapan yang dikenali sebagai Inghimas dan maut dalam pertempuran itu selepas menyerang satu kem Tentera Udara Kuwayris,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/7-rakyat-malaysia-jadi-pengebom-berani-mati-1.184621#sthash.5562n9OJ.dpuf

Syria abai permintaan PBB


NEW YORK 28 Jan. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalahkan kerajaan Syria berhubung krisis kemanusiaan yang membelenggu negara bergolak itu selepas mendapati hampir 75 peratus permintaan antarabangsa untuk menyalurkan bekalan bantuan tidak diendahkan.
Utusan kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien dalam laporannya kepada Majlis Keselamatan PBB, mendedahkan, misi untuk menghantar bantuan ke kawasan yang sukar dimasuki hampir mustahil dilakukan dan kerajaan Syria masih belum memberi kelulusan bagi meneruskan usaha tersebut.
Jelasnya, berdasarkan 113 permohonan untuk penghantaran bantuan pada tahun lalu, hanya 10 peratus sahaja berjaya dihantar kepada orang awam dan kira-kira 75 peratus permintaan tidak dijawab oleh Damsyik.
“Keupayaan kami untuk memasuki kawasan terbabit dan kawasan yang dikepung terjejas teruk disebabkan sikap pihak berkuasa Syria.
“Sikap sedemikian tidak boleh diterima sebagai anggota PBB dan sebuah negara yang menandatangani piagam antarabangsa,” katanya.
Kira-kira 13.5 juta penduduk Syria memerlukan bantuan bekalan makanan selepas perang saudara yang tercetus sejak 2011 mengakibatkan kemusnahan yang teruk selain mencetuskan krisis kebuluran yang meruncing.
Sementara itu, kumpulan kemanusiaan Syria, Kesatuan Penyelamat dan Perubatan (UOSSM) melaporkan, sebanyak 177 buah hospital musnah dan hampir 700 pekerja kesihatan maut akibat perang di negara itu.
Presiden UOSSM, Qubaida al-Mufti berkata, sejak 2012, kemudahan perubatan sering menjadi sasaran serangan udara dan pengeboman oleh kedua-dua pihak bertelagah iaitu kerajaan Syria dan kumpulan penentang.
Tambahnya, tahun lalu sahaja, sebanyak 112 buah hospital menjadi sasaran serangan manakala dalam tempoh 2012 sehingga 2015, seramai 697 staf perubatan termasuk doktor, jururawat dan lain-lain terkorban akibat serangan bom dan tembakan.
“Serangan ini secara jelas melanggar undang-undang kemanusiaan dan konvensyen antarabangsa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, usaha untuk menamatkan krisis peperangan di Syria masih samar apabila pakatan pembangkang menangguhkan keputusan untuk menyertai rundingan damai yang diusahakan PBB.
Jawatankuasa Tertinggi Rundingan yang ditubuhkan bagi menyatukan kumpulan pembangkang dan penentang, bertemu buat kali kedua pada hari ini bagi menentukan sama ada mahu menerima jemputan PBB ke Geneva bagi meneruskan rundingan.
Jurucakap jawatankuasa itu, Salem al-Meslet berkata, pihaknya masih belum boleh membuat keputusan sehingga menerima maklum balas dari wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura untuk meneruskan rundingan berkenaan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-abai-permintaan-pbb-1.184618#sthash.4MVWT024.dpuf

44 terbunuh serangan udara Rusia


Tentera prokerajaan Syria mengukuhkan kedudukan di bandar Ain
Tentera prokerajaan Syria mengukuhkan kedudukan di bandar Ain al-Hanash berhampiran al-Bab di timur Aleppo, kelmarin. AFP
BEIRUT 28 Jan. – Sekurang-kurangnya 44 orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dipercayai dilancarkan tentera Rusia di bahagian utara dan timur Syria semalam, yang berada di bawah penguasaan kumpulan militan IS.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklukan, serangan pertama membunuh sebanyak 29 orang awam termasuk sembilan wanita dan tiga orang kanak-kanak di perkampungan dikuasai IS di timur wilayah Deir Ezzor.
Serangan kedua pula meragut 15 nyawa termasuk lima beradik di bandar al-Bab, sebuah kubu IS di wilayah Aleppo.
Jelas badan itu, berpuluh-puluh orang turut cedera dalam serangan tersebut.
Pertubuhan yang beribu pejabat di Britain dan bersandarkan maklumat kepada rangkaian aktivis di Syria itu memberitahu, jet Rusia tersebut dikenal pasti menerusi corak serta jenisnya termasuk kelengkapan yang digunakan pesawat.
Rusia mula melancarkan serangan udara di Syria sejak September tahun lalu bagi menyokong pemerintahan Presiden Bashar al-Assad, manakala tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mula menyerang kedudukan IS di Syria dan Iraq sejak 2014.
Sokongan ketenteraan Rusia membantu tentera Bashar mara sejak beberapa bulan lalu dan menurut badan pemantau itu, tentera kerajaan meluaskan penguasaan sehingga lapan kilometer dari al-Bab.
Kedudukan itu paling hampir pernah dicapai tentera kerajaan di bandar berkenaan, kubu utama IS di Aleppo sejak 2012.
Al-Bab kira-kira 30 kilometer dari selatan sempadan Turki jatuh ke tangan penentang pada Julai 2012 sebelum IS mengambil alih penguasaan di kawasan tersebut pada 2013.
Badan pemantau itu pada minggu lalu melaporkan, serangan udara Syria membunuh lebih 1,000 orang awam termasuk 200 orang kanak-kanak. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/44-terbunuh-serangan-udara-rusia-1.184617#sthash.WzRLzcAq.dpuf

Thursday, 28 January 2016

2.6 bilion orang tertindas




KUMPULAN imigran berbaris untuk pemeriksaan keselamatan selepas merentasi sempadan Macedonia ke Serbia, berhampiran kampung Miratovac kelmarin.- AFP


NEW YORK – Lebih sepertiga populasi dunia atau bersamaan 2.6 bilion orang tinggal di negara dan wilayah yang dibelenggu penindasan, rasuah dan pencabulan hak asasi, demikian menurut badan demokrasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Freedom House.
Situasi paling teruk berlaku di Syria, Tibet dan Somalia.
Menurut laporan tahunan Freedom House, 2015 dipenuhi migrasi besar-besaran, kekerasan oleh pemerintah ke atas penentang, xenofobia dan serangan keganasan.
Kesemuanya menyumbang kepada penurunan kebebasan global selama 10 tahun berturut-turut, kata Freedom House.
Di seluruh dunia, 86 negara dan wilayah ditetapkan sebagai bebas berdasarkan hak politik dan kebebasan awam, 50 dianggap tidak bebas, dan 59 separa bebas.
Sebahagian besar penduduk yang tertindas tinggal di Asia Barat dan Afrika Utara. Dua rantau berkenaan menyaksikan 85 peratus penduduknya hidup tertekan akibat penindasan.
Laporan sama menyifatkan AS sebagai bebas, manakala tahap kebebasan di 72 negara menurun pada 2015, penurunan tertinggi sejak 10 tahun lalu.
Sebanyak 43 negara mencatat peningkatan kebebasan termasuk Burkina Faso, Myanmar, Nigeria dan Sri Lanka yang kesemuanya melaksanakan pilihan raya.
“Di kebanyakan negara dengan kerajaan kuku besi, kekurangan hasil akibat kejatuhan harga komoditi mendorong pemerintah meningkatkan penindasan politik dalam negara dan mengecam musuh asing.
“Negara demokratik pula mengalami tekanan akibat serangan pengganas dan peningkatan mendadak jumlah pelarian akibat konflik serantau seperti perang saudara Syria,” kata timbalan presiden bahagian penyelidikan Freedom House, Arch Puddington.
Secara keseluruhan, berpuluh-puluh negara dan wilayah dengan markah paling teruk termasuk Korea Utara, Uzbekistan, Eritrea, Turkmenistan, Sahara Barat, Sudan, Republik Afrika Tengah, Equatorial Guinea dan Arab Saudi.
– REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3yUOoVnCl 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Malaysia maut dalam serangan berani mati di Syria


ilah
Ahmad Salman (kanan) bersama rakan-rakannya yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan militan di Syria. Kita tidak ada sebarang – Sumber INTERNET
KUALA LUMPUR 27 Jan. – Ketika negara dikhuatiri dengan ancaman serangan anggota militan Negara Islam (IS), seorang lagi rakyat Malaysia dikesan terbunuh dalam satu serangan berani mati di negara bergolak Syria.
Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, yang berasal dari Parit Buntar, Perak dilaporkan terbunuh dalam satu serangan terhadap Lapa­ngan Tentera Udara Kuwayris di wilayah Allepo, semalam.
Difahamkan, serangan terhadap pangkalan tentera itu dilakukan oleh satu skuad khas yang dinamakan skuad Inghimas yang dipercayai satu kumpulan yang ditubuhkan untuk melakukan serangan nekad terhadap pasukan tentera di sana.
Ketika serangan nekad itu, Ahmad Salman telah terbunuh akibat kecederaan parah di serata badan.
Pengesahan tentang kematian lelaki yang dikenali sebagai ‘Abu Suleiman’ itu dibuat oleh seorang lagi rakyat Malaysia yang turut berjuang di Syria.
Ahmad Salman yang merupakan bekas pelajar sebuah universiti di London sebelum ini berada di dalam senarai 45 rakyat Malaysia yang menganggotai pasukan keganasan di negara itu.
Satu sumber keselamatan mendedahkan, Ahmad Salman ialah salah seorang daripada individu yang bertanggungjawab merekrut rakyat Malaysia untuk berjuang di Syria.
Malah, bekas pegawai sebuah syarikat pembinaan itu juga dilaporkan sebagai antara individu terapat dengan seorang ustaz dari Baling, Kedah, Allahyarham Mohd. Lofti Ariffin dan bekas pemuzik kumpulan popular 80-an, Akel Zainal.
Dia turut dipercayai bertanggungjawab menjadi dalang mempengaruhi rakyat Malaysia terhadap aktiviti keganasan melalui laman-laman sosial.
Ahmad Salman adalah antara rakyat Malaysia yang terkenal dalam kalangan rakyat negara ini ekoran pendedahan tentang perjuangannya di Syria di dalam Facebook.
Malah, menerusi laman Twitternya, Ahmad Salman dikesan begitu aktif memperjuangkan peperangan di negara-negara Islam, malah laman sosialnya juga dikesan menjadi antara tarikan rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan gerakan militan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, sejak 31 Disember lalu, beliau berhenti memuat naik sebarang status di laman Twitternya.
Menerusi laporan media terdahulu, Ahmad Salman pernah memberitahu, perjuangannya di Syria bermula setelah berkenalan dengan seorang rakyat Malaysia di India, yang bertanggungjawab memperkenalkannya dengan seorang ustaz yang juga berasal dari negara ini, beberapa tahun lalu.
Dia kemudiannya diarahkan untuk terbang ke Istanbul, Turki memasuki negara itu melalui Hatay sebelum menyertai serpihan kumpulan militan Al-Qaeda.
Ahmad Salman sebelum ini pernah mendedahkan kesukaran hidup di negara bergolak itu selepas ramai rakyat Malaysia dan rakan seperjuangannya meninggal dunia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rakyat-malaysia-maut-dalam-serangan-berani-mati-di-syria-1.184277#sthash.odpmt3rb.dpuf

Wednesday, 27 January 2016

Rundingan damai Syria tertangguh




AFP - SEORANG pejuang kumpulan penentang Syria berjalan di Harasta Qantara, timur Damsyik di Syria baru-baru ini.


GENEVA, Switzerland –Rundingan bagi menamatkan perang saudara di Syria akan bermula di Geneva Jumaat ini, kata seorang perunding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas penangguhan berhubung pihak yang akan mewakili kumpulan penentang di negara itu.
Rundingan itu dijadualkan kelmarin tetapi utusan PBB, Staffan de Mistura memberitahu wartawan bahawa kebuntuan berhubung delegasi yang terlibat memaksa ia ditangguhkan.
De Mistura berkata, beliau menghantar jemputan kepada semua delegasi berkenaan semalam tanpa menyatakan siapa yang akan diundang tetapi menyebut, senarainya bersifat seberapa inklusif yang boleh
Usaha baharu menamatkan perang saudara di Syria yang membunuh lebih 260,000 orang dan menyebabkan separuh rakyat negara itu menjadi pelarian dibuat ketika konflik di negara itu memasuki tahun kelima.
Rundingan tajaan PBB itu bermatlamat untuk membentuk sebuah kerajaan peralihan, perlembagaan baharu dan pilihan raya dalam tempoh 18 bulan di Syria.
Dialog itu dijangka mengambil masa enam bulan dengan pusingan pertama berlangsung antara satu hingga dua minggu, kata de Mistura
“Matlamat pertama adalah mewujudkan satu gencatan senjata yang meluas dan menghantar bantuan kepada mangsa perang di Syria,” katanya.
Pengumuman itu dibuat selepas seorang pengebom berani mati membunuh sekurang-kurangnya 23 orang di bandar Aleppo, demikian menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3yPcegzSG 
Hakcipta terpelihara 

Tentera Syria tawan bandar utama di Deera


seorang tentera Syria memeriksa kereta kebal yang dipandunya selepas
Seorang tentera Syria memeriksa kereta kebal yang dipandunya selepas tentera Syria berjaya menawan bandar Sheikh Maskin di wilayah Deera, semalam. Agensi
DAMSYIK 26 Jan. - Tentera Syria berjaya menawan sebuah bandar penting di wilayah Deera di selatan negara ini daripada pasukan pemberontak selepas pertempuran sengit selama hampir dua minggu.
Menurut kumpulan aktivis Syria yang dipetik oleh aljazeera.com, kekalahan kumpulan penentang di bandar Sheikh Maskin itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan tentera kerajaan di wilayah itu, selain menyekat saluran bekalan utama kepada kumpulan penentang.
Deera merupakan kawasan terawal tercetus penentangan terhadap kerajaan Syria pada 2011, selain menjadi laluan penting bagi tentera kerajaan dan kumpulan penentang.
“Bandar itu penting bagi kedua-dua pihak, dan sekarang tentera kerajaan berjaya memotong hubungan pasukan bersenjata kumpulan penentang di timur dan barat Deera,” kata Ketua Kumpulan Pemerhati Hak-hak Asasi Manusia bagi Syria yang berpangkalan di United Kingdom, Rami Abdulrahman.
Menurut kumpulan tersebut, dalam pertempuran tersebut tentera kerajaan dibantu oleh pasukan bersenjata Hizbollah serta bantuan serangan udara jet pejuang Rusia.
Kumpulan penentang pula terdiri daripada barisan al-Nusra, kumpulan militan Islam dan sekutunya, Tentera Pembebasan Syria yang disokong barat.
Pertempuran tersebut menyebabkan kemusnahan teruk di bandar berkenaan.
Pakar analisis, Juan Cole dari Universiti Michigan memberitahu Al Jazeera, kejayaan tentera kerajaan menawan banyak kawasan di selatan negara ini amat penting, memandangkan sebelum ini kumpulan penentang menguasai 79 peratus wilayah Deera.
Katanya, kejayaan tersebut berikutan campur tangan Rssia terutama melalui serangan udara yang menyebabkan pasukan bersenjata kumpulan penentang berpecah.
“Keadaan sudah terbalik 180 darjah sejak campur tangan Rusia dan keadaan ini akan memberi kesan terhadap logistik pasukan bersenjata kumpulan penentang,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kejadian lain sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam dua serangan bom berani mati di sebuah pusat pemeriksaan tentera di bandar Homs hari ini, kata media tempatan.
Menurut laporan stesen televisyen tempatan, 100 orang dikhuatiri cedera dalam serangan ke atas kawasan perumahan Al-Zahraa, yang menjadi sasaran serangan bom sebelum ini.
Gabenor wilayah Homs, Talal Barazi memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan itu.
Katanya, dua pengebom itu bertindak meletupkan diri mereka di pusat pemeriksaan tentera di bandar itu.
Salah seorang pengebom meletupkan dirinya selepas keluar dari kereta yang dinaikinya, manakala seorang lagi meletupkan dirinya di dalam kereta. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-tawan-bandar-utama-di-deera-1.183898#sthash.XxF6xyR9.dpuf

Tuesday, 26 January 2016

Mahu sekatan Rusia ditarik balik


Campur tangan Moscow telah mewujudkan kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah timur Ukraine.

PARIS -  Perancis berharap Barat akan menarik balik sekatan ke atas Rusia kerana tindakan mereka campur tangan dalam konflik di Ukraine menjelang musim panas depan.
Kelmarin, Menteri Ekonomi, Emmanuel Macron berkata, matlamat utama adalah untuk menghormati perjanjian damai Minsk yang dicapai selepas beberapa pusingan rundingan bersama Kiev, Moscow, Berlin dan Paris pada Februari lalu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry memaklumkan sekatan Barat ke atas Rusia akan ditarik balik balik apabila syarat perjanjian dipenuhi.
"Ia mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk memastikan perjanjian tersebut dilaksanakan," katanya ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Selain menarik balik senjata berat, kandungan perjanjian Minsk turut menetapkan pelaksanaan gencatan senjata dan pembaharuan Perlembagaan di Ukraine selepas lebih 9,000 terkorban dalam konflik di Ukraine sejak April 2014.
Sebelum ini, Kiev dan kumpulan pemisah pro-Rusia saling menuding ke arah satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata walaupun kelengkapan itu dilaporkan telah ditarik balik dari barisan hadapan. - Press T
V

11 anggota penentang terbunuh di Syria


BEIRUT 25 Jan. - Sekurang-kurangnya 11 anggota kumpulan penentang di Syria dan lima penduduk awam terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas sebuah bangunan di barat laut Syria, ketika kumpulan-kumpulan penentang mengadakan pertemuan di situ.
“Sebanyak 11 anggota penentang daripada Barisan Al-Nusra (sekutu al-Qaeda) dan kumpulan penentang lain terbunuh semalam, bersama-sama lima penduduk awam, apabila sebuah peluru berpandu mengenai sebuah balai polis yang digunakan sebagai mahkamah di Salqin,” di wilayah Idlib, kata pemerhati hak asasi bagi Syria.
Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Britain itu berkata, masih tidak jelas sama ada peluru berpandu itu dilancarkan oleh Rusia atau tentera Syria.
Kumpulan pemantau itu berkata, jumlah korban mungkin meningkat kerana ramai yang mengalami cedera parah dalam serangan itu.
Serangan peluru berpandu itu berlaku ketika kumpulan penentang Al-Nusra dan kumpulan militan konservatif Islam, Ahrar al-Sham mengadakan rundingan. Sebelum itu, berlaku pertempuran antara kedua-dua kumpulan terbabit di bandar itu pada hari yang sama.
Kedua-dua kumpulan itu menyertai pakatan Pasukan Tentera Penyerang, pakatan penentang yang menawan wilayah Idlib pada tahun lepas.
Awal Januari lalu, Rusia mengempur wilayah Idlib di kawasan sempadan Turki mengakibatkan sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh, termasuk 23 anggota Al-Nusra dan 52 penduduk awam serta banduan.
Menurut pasukan pemerhati, lebih 1,000 penduduk awam terbunuh dalam serangan udara Rusia sejak Moscow menyertai kempen ketenteraan di Syria pada 30 September lalu.
Serangan udara Rusia itu turut membunuh hampir 900 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dan lebih 1,100 anggota penentang kerajaan Syria daripada beberapa kumpulan penentang, termasuk Al-Nusra. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/11-anggota-penentang-terbunuh-di-syria-1.183323#sthash.SY4nvPHX.dpuf

Monday, 25 January 2016

63 terbunuh

Beirut: Seramai 63 orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan udara disyaki dilancarkan pesawat pejuang Russia di sebuah perkampungan yang dikuasai kumpulan Negara Islam (IS) di timur Syria.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, sembilan kanak-kanak dan dua wanita antara yang maut dalam kejadian di Khasham.
Kampung itu terletak di wilayah kaya minyak, Deir Ezzor, tempat IS berusaha mara sejak beberapa hari lalu walaupun berdepan serangan udara Russia dan tentera Syria.
Serangan sejak seminggu lalu oleh IS di ibu negeri wilayah itu mengakibatkan lebih 500 maut dan mencetuskan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai 200,000 penduduk yang masih berada di situ.
Sementara itu, sumber tentera Syria berkata, hampir 100 ‘pakar Amerika’ dan militia Kurdis Syria hampir selesai menyiapkan lapangan terbang Rmeilan di wilayah Hasakeh.
“Pangkalan udara itu akan digunakan untuk helikopter dan pesawat kargo. Landasannya sepanjang 2,700 meter dan sedia digunakan untuk pesawat yang membawa peralatan serta kelengkapan perang lain,” kata sumber itu.
“Pasukan khas tentera Amerika Syarikat dan penasihat menggunakan lapangan terbang Rmeilan sebagai pangkalan dengan helikopter berlepas dari situ ke medan tempur,” kata sumber itu.
Pentagon bagaimanapun menafikannya dengan berkata, AS ‘belum menguasai mana-mana lapangan terbang di Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:05 AM


GAMBAR menunjukkan kanak-kanak Syria yang melarikan diri bersama keluarga dari al-Bab berteduh ketika menunggu di Akda untuk melintas masuk ke Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109885#sthash.0wmuPtoM.dpuf

63 orang awam terbunuh



DUA pesawat pengebom Rusia kelihatan di pangkalan udara Hemeimeem di Syria pada Rabu lalu. - Agensi


BEIRUT – Serangan terbaharu yang dipercayai dilakukan oleh pesawat tentera Rusia menyebabkan 63 orang awam terbunuh di timur Syria kelmarin.
Serangan tersebut berlaku ketika tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan membina pengkalan udara bagi meningkatkan serangan terhadap kumpulan militan Islamic State (IS).
Sementara itu, beberapa diplomat kanan sedang bersiap sedia untuk menyelesaikan persoalan utama siapa yang akan mewakili pihak pembangkang Syria dalam rundingan penting minggu hadapan bagi menghentikan perang yang berlangsung lebih lima tahun.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, daripada sejumlah besar yang terbunuh di sebuah kampung di bandar Khasham yang dikuasai IS, sembilan daripada mereka ialah kanak-kanak manakala dua lagi wanita.
Kampung tersebut terletak di dalam wilayah Deir Ezzor yang kaya dengan minyak. IS dilaporkan berusaha untuk mara dalam beberapa hari kebelakangan ini walaupun berlaku beberapa siri serangan udara oleh kerajaan Syria dan Rusia.
Serangan yang berlangsung selama seminggu di ibu kota wilayah itu mengakibatkan kira-kira 500 orang maut dan mencetuskan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai dalam kalangan 200,000 orang lain yang masih tinggal di situ.
Sementara itu, sumber ketenteraan Syria berkata, kira-kira 100 pakar AS dan kumpulan militan Kurdish Syria hampir menyiapkan lapangan terbang Rmeilan di wilayah Hasakeh.
“Pangkalan udara itu akan digunakan untuk helikopter dan pesawat kargo. Landasannya kini mencapai 2,700 meter panjang dan bersedia untuk digunakan oleh pesawat yang akan membawa peralatan dan bekalan peluru,” kata sumber terbabit. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3yDMSga62 
Hakcipta terpelihara 

Tentera Syria tawan bandar di Latakia

25 Januari 2016 12:25 AM

Gambar bertarikh 15 Januari lalu merakamkan sekumpulan tentera

Gambar bertarikh 15 Januari lalu merakamkan sekumpulan tentera Syria berehat selepas menguasai bandar Salma di wilayah Latakia. AFP
BEIRUT 24 Jan. – Tentera Syria hari ini menakluk sebuah bandar di wilayah Latakia yang sebelum ini menjadi kubu kuat Presiden Syria, Bashar al-Assad, lapor stesen te­levisyen tempatan.
Memetik sumber pihak tentera, stesen tersebut melaporkan, tentera tersebut berjaya menakluk bandar Rabia.
Bandar tersebut sebelum ini dikawal oleh pihak pembangkang sejak 2012 termasuk beberapa kumpulan pemberontak antaranya, sekutu al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra.
Menurut Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, bandar Rabia jatuh ke tangan tentera Syria yang telah membuat pemantauan dan mengepung bandar tersebut.
Katanya, dalam tempoh 48 jam lalu, tentera mengepung tempat itu dari tiga penjuru di selatan, barat, dan utara dengan menawan 20 buah kampung.
“Pegawai kanan tentera Rusia mengawasi pertempuran untuk mendapatkan Rabia dan serangan udara oleh tentera Rusia memainkan peranan penting dalam usaha menawan bandar tersebut.
“Dengan penaklukan Rabia, tentera kerajaan semakin hampir kepada laluan bekalan pemberontak melalui sempadan Turki di utara,” katanya kepada wartawan AFP.
Penaklukan Rabia dibuat selepas tentera kerajaan merampas bandar strategik Salma 12 Januari lalu berikutan operasi selama beberapa bulan untuk merebutnya daripada pemberontak sejak tahun 2012. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-tawan-bandar-di-latakia-1.183098#sthash.RU9hKPiP.dpuf

Sunday, 24 January 2016

Lebih 40 pelarian mati lemas

24 JANUARI 2016


Pelarian yang terselamat tiba di pelabuhan Piraeus di Greece.


 ATHENS - GREECE. Sekurang-kurangnya 45 pelarian dilaporkan mati lepas selepas tiga bot dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan dari Turki ke Greece, kelmarin.
Pengawal pantai Greece berkata, antara mangsa yang mati termasuk 20 kanak-kanak. Beberapa jam sebelum itu, pihak berkuasa Greece berjaya menyelamatkan 74 pelarian selepas bot dinaiki mereka mengalami masalah di luar pulau Farmakonisi dan Kalolimnos.
"Kebanyakan pelarian mengalami trauma. Malah, dalam beberapa kes hanya si bapa sahaja yang terselamat manakala ahli keluarga yang lain mati lemas," kata pegawai UNHCR, Marco Procaccini dipetik laporan AFP.

Jepun hanya terima 27 pelarian tahun lalu

SABTU, 23 JANUARI 2016 @ 1:07 PM




JEPUN masih bimbang mengenai kehadiran pelarian dalam masyarakat mereka dan mengehadkan jumlah yang diluluskan. - Foto AFP


 TOKYO: Jepun hanya menerima 27 pelarian tahun lalu dan menolak hampir semua permohonan pada ketika kumpulan hak asasi menggesa kerajaan untuk membenarkan kemasukan lebih ramai orang, kata pegawai. Negara itu masih bimbang mengenai kehadiran pelarian dalam masyarakat mereka dan mengehadkan jumlah yang diluluskan. Daripada 1,000 orang yang mohon status pelarian, lima adalah warga Syria, tetapi hanya tiga diterima - angka yang terlalu kecil berbanding kehadiran penduduk Syria ke Eropah selepas meninggalkan negara Asia Barat yang bergolak akibat peperangan tahun lalu. Kementerian Kehakiman berkata, ia menerima 7,586 permohonan daripada pelarian pada 2015, bermakna lebih 99 peratus permohonan ditolak. Selain itu, permohonan lain termasuk enam dari Afghanistan, tiga Habsyah dan tiga dari Sri Lanka. Kementerian berkenaan berkata, jumlah pelarian yang diterima tahun lalu meningkat daripada 11 pada 2014 dan enam pada 2013. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/117266

67 korban serangan udara di Syria

seorang penduduk Syria mengangkat seorang kanak-kanak yang terselamat

24 Januari 2016 12:10 AM

seorang penduduk Syria mengangkat seorang kanak-kanak yang terselamat dalam serangan udara oleh pesawat tentera udara Rusia di bandar ouma, timur Ghouta dekat Damsyik pada 10 Januari lalu. REUTERS
DAMSYIK 23 Jan. Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh termasuk 13 kanak-kanak dalam serangan udara di timur Syria ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan militan IS, semalam.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, serangan itu dilakukan oleh sebuah pesawat pengebom yang tidak dikenali ke atas beberapa kawasan di wilayah Deir al-Zour.
Kira-kira 30 orang maut dalam serangan di kawasan Tabiyet Jazeera, manakala 10 orang lagi terkorban di daerah al-Bouleil yang terletak di pinggir wilayah Deir al-Zour, menurut laporan itu.
Kedua-dua kawasan itu yang dikuasai militan IS, menjadi sasaran tentera Syria dan Rusia sejak 16 Januari lalu dan angka kematian dalam serangan tersebut dilaporkan meningkat sebanyak 91 orang, 25 daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Sementara itu, di bandar al-Raqqa yang merupakan kubu kuat militan IS, seramai 27 orang disahkan maut dalam serangan udara oleh pesawat yang tidak dikenali.
Syria menjadi medan pengeboman udara oleh tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sejak tahun lalu, selain Rusia turut menjalankan operasi sama bagi menghapuskan ancaman militan IS di negara ini dan Iraq.
Namun, kedua-dua operasi terbabit tidak diselaraskan de­ngan baik sehingga menyebabkan pasukan pemantau sukar me­ngenal pasti pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan udara yang mengorbankan ramai nyawa orang awam.  DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/67-korban-serangan-udara-di-syria-1.182594#sthash.UqS8QT06.dpuf