Monday, 25 June 2012

116 lagi korban konflik di Syria

116 lagi korban konflik di SyriaPENENTANG kerajaan Syria membawa sepanduk tertulis perkataan bermaksud ‘Wahai Bashar kamu akan hancur’ Tentera Damsyik terus bedil kubu penentang Presiden Bashar al-Assad

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 116 orang terbunuh semalam dalam konflik di seluruh Syria selepas tentera membedil kubu penentang Damsyik manakala Turki mengakui pesawatnya menceroboh ruang udara negara jirannya menyebabkan ia ditembak jatuh.
Pada masa sama, Presiden Syria, Bashar al-Assad, membentuk kabinet baru tetapi portfolio penting terus dipegang orang yang sama.


Pertubuhan Syrian Observatory for Human Rights mendedahkan, 116 orang, 77 adalah orang awam terbunuh dalam keganasan di seluruh negara itu selepas penyokong pemerintah memperhebat serangan.

Kumpulan berpejabat di Britain itu berkata, orang awam maut selepas kubu penentang dibedil pesawat tempur.

Ia termasuk keluarga enam sekeluarga di Deir Ezzor, timur Syria, membabitkan seorang lelaki dan tiga anaknya di Kfaraaya, di tengah wilayah Homs dan empat anggota keluarga lain termasuk dia kanak-kanak di Hama, tengah Syria.

Seramai 19 askar maut dalam pertempuran dengan pemberontak dan 10 lagi cedera manakala 10 lagi anggota tentera ditembak mati kerana cuba belot.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pula mengutuk pembunuhan seorang pekerjanya, Bashar al-Youssef, 23, di Deir Ezzor, Jumaat lalu.

Sementara itu, di MANILA, Filipina berkata sekurang-kurangnya 14 pegawai imigresen negara itu kini disiasat berikutan satu dakwaan kerana dituduh terbabit dalam penyeludupan manusia membabitkan penduduk miskin negara itu ke Syria yang dilanda keganasan.

Pesuruhjaya Imigresen, Ricardo David berkata bahawa pihaknya sedang bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh sepasukan petugas khas kerajaan mengenai penyeludupan yang boleh membawa kepada pertuduhan jenayah atau pemecatan pegawai terbabit.

“Kami mahu memberitahu orang ramai bahawa biro ini dalam pemantauan saya tidak akan ada tolak ansur dalam perbuatan jenayah,” kata David.

Seramai 19 pegawai imigresen yang didapati membantu agensi merekrut pembantu rumah haram ditamatkan tugas mereka tahun lalu, kata David.

Kementerian Buruh pula berkata penduduk Filipina dari wilayah miskin sering kali mudah tertipu untuk ke Syria. Kebanyakan mereka ialah golongan wanita akhirnya menjadi pembantu rumah dalam keadaan kerja yang amat susah.

Katanya, secara purata seramai 100 penduduk Filipina memasuki Syria setiap bulan.

Kerajaan Filipina melarang rakyatnya daripada bekerja di Syria dan mengarahkan perpindahan mandatori semua rakyatnya di sana pada Disember, kira-kira 10 bulan selepas kebangkitan menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Daripada sejumlah 7,000 rakyat Filipina yang diketahui berada di Syria, seramai 1,500 sudah berjaya dibawa pulang, kata Kementerian Buruh. – AF

No comments:

Post a Comment