01/04/2013 2:52am
BEIRUT – Pemberontak di Syria telah membakar tiga telaga minyak di timur negara itu hingga mengakibatkan kerugian hampir 5,000 tong minyak dan 52,000 meter padu gas sehari, kata pegawai rasmi dari kementerian minyak dan industry negara itu.
Menurut laporan agensi berita Syrian Arab News (SANA), kemusnahan di telaga minyak wilayah Deir Al-Zor itu adalah berikutan pertikaian mengenai perkongsian hasil minyak di tempat yang telah dikuasai kumpulan pemberontak tersebut.
Perbadanan Petroleum Al-Furat memberitahu, pihaknya telah berusaha memadamkan tiga kebakaran tersebut. Pada mulanya, sembilan buah telaga telah dibakar oleh pemberontak tersebut, namun tidak dinyatakan keadaan enam telaga yang lain.
Sekatan telah dikenakan ke atas Syria oleh Kesatuan Eropah dua tahun lalu berikutan protes besar-besaran terhadap Presiden Bashar al-Assad melarat menjadi konflik bersenjata. Hal tersebut telah melumpuhkan eksport minyak negara itu.
Kerajaan Assad juga terdesak untuk memenuhi keperluan tenaga domestik selepas hilang kawalan ke atas wilayah timur Syria yang menjadi lokasi sebahagian besar daripada telaga-telaga minyak utama.
Penduduk tempatan bagaimanapun memberitahu, pengeluaran minyak diteruskan di beberapa kawasan lain, dengan pihak pemberontak membenarkan pihak berkuasa tempatan menghantar minyak ke kawasan-kawasan yang dikawal kerajaan. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm#ixzz2PA4oqXHs
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment