Thursday 2 May 2013

AS ada bukti senjata kimia diguna di Syria



Seorang lelaki Syria menangis di lokasi bedilan tentera kerajaan di kawasan perumahan Ard al-Hamra, Aleppo, pada 23 Februari lalu. Serangan udara itu dipercayai dilancarkan menggunakan peluru berpandu Scud. - REUTERS
WASHINGTON 1 Mei - Amerika Syarikat (AS) mendakwa mempunyai bukti senjata kimia telah digunakan dalam konflik di Syria.
Saluran televisyen al-Jazeera melaporkan Presiden AS, Barack Obama sebagai berkata, pentadbiran AS kini 'memikirkan beberapa pilihan' yang boleh digunakan berhubung strateginya di negara itu.
Obama berkata, Pentagon dan agensi keselamatan lain diarah untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kemungkinan jika 'garisan merah' berhubung senjata kimia dibuktikan telah dilanggar.
''Apa yang kami ada sekarang adalah bukti senjata kimia telah digunakan di Syria tetapi kami tidak tahu siapa menggunakannya dan bila dan bagaimana mereka menggunakannya.
''Kami tidak mempunyai jaringan maklumat untuk mengesahkan apa yang sebenarnya berlaku,'' katanya pada sidang media, di sini semalam.
Obama berkata, beliau perlu mendapatkan fakta benar terlebih dahulu.
Beliau tidak menolak akan mengambil tindakan ketenteraan jika terbukti perkara itu benar, namun masih mahu mengambil langkah berjaga-jaga.
Di Beirut, ketua pergerakan Hezbollah di Lebanon hari ini menegaskan, 'sekutu rapat Syria' tidak akan membiarkan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad jatuh ke tangan AS, Israel atau kumpulan pelampau.
Dalam ucapan yang disiarkan melalui siaran televisyen al-Manar, Hassan Nasrallah berkata, Syria masih mempunyai sekutu rapat di rantau ini yang tidak akan membenarkan campur tangan kuasa asing terhadap konflik di negara itu.
Kenyataan Hassan tersebut secara jelas merujuk kepada Iran sebagai sekutu rapat yang selama ini menyokong Syria dan pergerakan Hezbollah. - AGENSI/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130502/lu_06/AS-ada-bukti-senjata-kimia-diguna-di-Syria#ixzz2S5MkUVyK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment