Kebanyakan warga Amerika tidak mahu Amerika Syarikat campur tangan dalam perang Syria walaupun jika kerajaan di situ menggunakan senjata kimia.
Pungutan pendapat Reuters/Ipsos semalam menunjukkan hanya 10 peratus responden berpendapat AS wajar terbabit dalam perang saudara berkenaan, manakala 61 peratus menentang langkah itu.
Keputusan kajian dalam talian itu diterbitkan ketika Rumah Putih mempertimbangkan cara bagaimana untuk bertindak balas terhadap krisis yang semakin buruk itu. Angka responden yang bersetuju supaya AS campur tangan meningkat kepada 27 peratus apabila mereka ditanya apa yang perlu dilakukan jika Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia.
Sebanyak 44 peratus membantah cadangan itu. Pegawai Ipsos, Julia Clark berkata, berbanding reaksi warga AS terhadap perang Afghanistan dan Iraq, mereka ternyata tidak berminat dengan cadangan kerajaan untuk campur tangan di Syria. Presiden Barack Obama mengelak daripada banyak terbabit dalam konflik Syria walaupun dia mengumumkan tahun lalu, penggunaan senjata kimia oleh Bashar akan dianggap sebagai ‘melepasi garisan merah’ dan akan bertindak balas. Selasa lalu, Obama berkata, ada bukti menunjukkan senjata kimia digunakan rejim Bashar tetapi tidak dapat dipastikan apa tindakan selanjutnya dari Washington. Sementara itu, kajian menunjukkan ramai warga AS tahu mengenai perkembangan di Syria.
Sebanyak satu per tiga atau 36 peratus responden tidak tahu atau tidak membaca sebarang bahan mengenai perang di negara itu.
Hanya lapan peratus berkata mereka mendengar atau mengikuti dengan teliti isu itu berbanding 19 peratus tahu atau membaca mengenai konflik Syria secara sederhana.
No comments:
Post a Comment