Obama bercakap mengenai isu Syria di pekarangan White House di Washington pada Sabtu lalu.- AFP |
Pegawai kanan PBB itu, Tarik Kurdi memberitahu, dianggarkan lima juta rakyat Syria kini menjadi pelarian di negara sendiri.
Bilangan tersebut tidak termasuk dua juta lagi warga Syria yahg melarikan diri ke beberapa negara jiran.
Angka keseluruhan tersebut merangkumi hampir satu pertiga penduduk di negara Asia Barat berkenaan.
"Setakat ini, negara-negara penderma menyumbang kurang satu pertiga daripada wang yang diperlukan bagi membantu para pelarian ini," kata Kurdi.
Konflik kejam penuh berdarah selama dua tahun di Syria juga telah meragut lebih 100,000 nyawa termasuk lebih 1,300 orang yang terbunuh dalam serangan senjata kimia oleh rejim presiden Bashar Al-Assad dipinggir bandar raya Damsyik pada 21 Ogos lalu.
Namun Bashar menafikan tentera Syria melakukan serangan kejam tersebut.
Beliau sebaliknya menyalahkan pihak penentang sebagai bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Setakat ini, pihak AS dan juga rejim Bashar belum menyiarkan bukti dakwaan masing-masing kepada umum.
Di Washington, Presiden Barack Obama sedang melobi Kongres untuk menyokong serangan tentera bagi menghukum rejim Bashar kerana menggunakan senjata pembunuh besar-besaran itu.
Obama pada awalnya bersedia menyerang Syria, tetapi menukar fikiran bagi mendapatkan persetujuan Kongres terlebih dahulu pada hujung minggu lalu.
Kongres dijangka mengundi isu tersebut pada 7 September ini.
Sementara itu, Liga Arab belum menyatakan sokongan berhubung tindakan ketenteraan ke atas negara Asia Barat itu.
Dalam satu mesyuarat tergempar di Kaherah kelmarin, ia meminta PBB dan masyarakat antarabangsa mengambil langkah pencegahan berdasarkan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan jenayah rejim Bashar.
Dalam perkembangan berkaitan, dua sekutu kuat Bashar, China dan Rusia menentang tindakan ketenteraan yang dicadangkan Washington.
China amat bimbang serangan itu akan menyebabkan konflik di Asia Barat menjadi bertambah rumit dan buruk.
Rusia pula mendakwa tiada bukti kukuh tentera Bashar melancarkan serangan senjata kimia.
"Tiada koordinat lokasi serangan dan tiada bukti ujian dilakukan oleh golongan profesional untuk mengesahkan serangan itu," kata Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov.
Sebelum perang saudara meletus, Syria mempunyai sekitar 23 juta penduduk. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2dmxgzoPy
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment