Sunday, 29 September 2013

Senjata kimia Syria dimusnah



NEW YORK 28 Sept. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam sebulat suara mencapai resolusi pemusnahan senjata kimia Syria dan mengutuk serangan menggunakan senjata di Damsyik baru-baru ini.
Badan keselamatan dunia itu berjaya memecah kebuntuan berhubung isu tersebut dan meluluskan resolusi pertama berhubung konflik di Syria yang berlanjutan sejak 30 bulan lalu yang menyaksikan lebih 100,000 orang maut.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki- moon menyifatkan resolusi tersebut sebagai 'perkembangan pertama yang memberi harapan berhubung isu Syria sejak sekian lama'.
Beliau turut melahirkan harapan untuk menganjurkan satu persidangan damai pada pertengahan November ini.
Resolusi 2118 itu adalah hasil daripada rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, memberikan kekuatan antarabangsa untuk menggariskan satu rancangan bagi menghapuskan senjata kimia Syria.
Resolusi tersebut tidak mengenakan sekatan segera berhubung serangan senjata kimia di Damsyik tersebut oleh PBB, namun ia membenarkan satu pendekatan diperkenalkan jika rancangan AS-Rusia itu dilanggar.
Bagaimanapun, perbezaan pendapat berhubung konflik Syria itu masih berlaku berdasarkan kenyataan menteri-menteri luar anggota badan dunia tersebut.
Setiausaha Negara AS, John Kerry memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan Syria untuk memenuhi perjanjian itu akan membawa akibat yang buruk.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menegaskan, tiada pendekatan untuk menghukum secara automatik diambil dan resolusi tersebut turut meliputi penentang kerajaan Syria. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_03/Senjata-kimia-Syria-dimusnah#ixzz2gEgRph3p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment