Monday, 2 December 2013

9 maut insiden berbalas tembakan di Tripoli


Sekumpulan tentera Lebanon berkawal dengan sebuah kereta perisai di sebatang jalan di Tripoli, utara Lebanon, kelmarin. - Reuters
TRIPOLI 1 Dis. - Sembilan orang terkorban termasuk seorang pelajar dalam insiden berbalas-balas tembakan antara kumpulan-kumpulan bersenjata di utara bandar ini, semalam.
Menurut sumber keselamatan, kumpulan-kumpulan itu bertempur berikutan perbezaan sokongan mereka dalam konflik Syria.
Sumber pasukan keselamatan berkata, dua orang penduduk di daerah tersebut turut terbunuh dalam kejadian itu, termasuk seorang rakyat Palestin dan Syria.
"Sekurang-kurangnya 22 orang yang lain mengalami kecederaan termasuk tujuh anggota tentera (Lebanon),'' kata sumber tersebut.
Tentera dalam satu kenyataan memaklumkan, tentera dikerah ke tempat kejadian sejurus pertempuran berlaku.
Dalam kejadian berasingan, seorang penduduk dari Jabal Mohsen mengalami kecederaan dalam satu kejadian serangan berasingan di sebuah perumahan pengikut Sunah.
Keganasan sering berlaku antara penduduk Alawiyah di kawasan perumahan Jabal Mohsen, yang merupakan penyokong Presiden Bashar al-Assad dengan pengikut Syiah di daerah Bab al-Tebbaneh.
Perdana Menteri sementara Lebanon, Najib Mikati, semalam mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Marwan Charbel dan beberapa pegawai keselamatan bagi membincangkan situasi tegang di Tripoli serta cara untuk menghentikan pergolakan berterusan di bandar ini, walaupun tentera ditempatkan di dua kawasan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131202/lu_08/9-maut-insiden-berbalas-tembakan-di-Tripoli#ixzz2p46cWFjf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment