Raihaniah (Turki): “Saya benar-benar seperti mati hidup semula,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Hassan, 30, yang dipenjara selama setahun oleh tentera pimpinan Presiden Syria Bashar al Assad.
Mungkin ada yang berpendapat setahun tempoh singkat, namun penjara tentera Bashar bukan sekadar bilik kurungan, sebaliknya lebih kepada pusat penyeksaan.
Hassan berkata, sepanjang setahun dia ditahan bermula Mei 2012 di sebuah penjara di Damsyik, dia ditempatkan di dalam sel berukuran cuma 5 x 5 meter, namun dikongsi bersama 90 tahanan.
“Sel tahanan kami terletak di bawah tanah yang pengaliran udara amat teruk.
Kami sentiasa kepanasan dan di siang hari peluh bertakung di lantai sel hingga ke paras buku lali atau tiga sentimeter.
“Akibatnya, beberapa tahanan terutama yang berusia 50 tahun ke atas mati kerana kelemasan dan dehidrasi,” kata bekas akauntan itu kini berlindung di sini, namun masih aktif membantu rakyat negaranya yang tertindas.
Menurutnya, akibat jumlah tahanan ramai sedangkan ruang sel terlalu kecil, semua tahanan terpaksa berdiri dan keadaan itu menyebabkan dia sakit tulang belakang dirasai sampai sekarang.
“Kini saya terpaksa memakai bengkung bagi mengurangkan kesakitan yang dirasai sepanjang masa, malah saya juga tidak boleh berdiri lurus, sebaliknya perlu mengendurkan sedikit posisi tubuh saya,” katanya sambil menunjukkan bengkung dipakainya.
Ditanya mengapa dia ditahan, Hassan berkata, dia memang terbabit secara aktif dalam gerakan menentang rejim Bashar sejak pemimpin berfahaman Syiah itu mula menekan rakyat yang majoritinya mengikut fahaman Sunnah.
Bagaimanapun, pada Mei 2012 dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya selepas pihak berkuasa menemui beberapa laras senjata api dan peluru dalam but keretanya.
“Sepatutnya, hukuman untuk saya ialah penjara seumur hidup atau hukuman mati, tetapi Allah menentukan segala-gala kerana nama saya termasuk dalam senarai mereka yang diampunkan.
“Pembebasan beramai-ramai itu dilakukan Bashar Mei tahun lalu dalam usaha menunjukkan kepada dunia dia pemimpin baik selepas dikutuk di peringkat antarabangsa berikutan kezalimannya,” katanya.
Seorang lagi bekas tahanan Bashar ialah penuntut universiti mahu dikenali sebagai Muhammad, 24, yang sebelum ini menuntut dalam jurusan kejuruteraan awam di Universiti Homs.
Menurutnya, Homs yang kini 90 peratus lumpuh akibat bedilan senjata dan dentuman bom dihuni majoriti penduduk berfahaman Sunnah dan mereka antara kawasan paling teruk dianiaya sejak konflik tercetus Mac 2011 hingga kini.
KESAN parut di kaki Hassan akibat didera.
No comments:
Post a Comment