Monday, 5 May 2014

Terpaksa lari


“Pada pandangan zahir saya, keadaannya terlalu gelap. Saya tak nampak cara Syria akan pulih dalam masa yang terdekat.”

Itu kata ulama Syria yang kini mencari perlindungan di Turki, Sheikh Sariah al-Rifaie ketika ditanya bila konflik antara puak Syiah dan Sunnah di negara kelahirannya itu akan berakhir.

“Cuma tinggal satu saja harapan saya...kepada Allah.



Hanya Allah saja yang mampu mengubah pendapat saya ini menjadi sebaliknya,” katanya dalam temu bual di sini baru-baru ini yang diaturkan oleh Muslim Care Malaysia.

Metro Ahad semalam melaporkan Sheikh Sariah antara ulama tersohor di Damsyik, Syria antara tokoh agama yang cuba berunding dengan pihak Presiden Bashar al-Assad di peringkat awal konflik bagi memulihkan keadaan sebelum akhirnya terpaksa lari keluar dari negara itu selepas mendapat maklumat beliau bakal ditangkap.

Menurutnya, keadaan di Syria kini terutama di beberapa wilayah seperti Allepo, Dar’a dan Homs masih tegang kerana terus menjadi sasaran bom barmel (tong dram) serta bon kimia rejim tentera Bashar.

Sheikh Sariah berkata, berikutan wujud banyak pasukan yang ditubuhkan rakyat untuk menentang Bashar, ada antara pasukan itu sebenarnya hanya ‘berlakon’ kerana mereka sebenarnya bersekongkol dengan kekejaman presiden kuku besi itu yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 300,000 nyawa sejak konflik tercetus tiga tahun lalu.

Oleh itu, katanya, amat penting bagi semua pihak di luar Syria terutama Malaysia yang banyak memberi bantuan supaya berhati-hati dalam menerima maklumat mengenai perkembangan di negara itu.

“Jika ada mendakwa tentera dianggotai rakyat yang menentang Bashar sebagai pihak yang jahat dan kononnya menerima bantuan dari Amerika Syarikat, itu semua fitnah.

“Jangan dengar berita daripada sumber yang tidak betul.

Jika nak tahu berita yang betul tanya orang seperti saya kerana hanya kami yang terbabit secara langsung dengan konflik ini tahu apa sebenarnya berlaku...pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah,” katanya.

Biarpun berada di luar Syria, Sheikh Sariah tidak berdiam diri bagi membantu rakyat negara itu yang tertindas dek kekejaman Bashar dan usaha terkini beliau selaku penaung Muassasah Zaid bin Thabit adalah membuka cawangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di Malaysia tidak lama lagi.

Menurutnya, jika perancangan itu menjadi kenyataan kelak, pastinya rakyat Malaysia akan memperolehi maklumat lebih tepat mengenai Syria dan memastikan usaha menyalurkan bantuan dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

Zaid bin Thabit yang berpejabat di sini akan bekerjasama dengan Muslim Care Malaysia dalam merealisasikan usaha itu dan perbincangan awal mengenainya sudahpun dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

No comments:

Post a Comment