Saturday, 13 September 2014

AS dapat sokongan lancar kempen agresif ke atas IS


KERRY bergambar bersama menteri-menteri luar negara Arab semasa sesi bergambar di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah selepas menandatangani pakatan antara Amerika dan sepuluh negara Arab bagi menyelaras kempen ketenteraan ke atas IS, kelmarin. - REUTERS
JEDDAH 12 Sept. - Amerika Syarikat (AS) berjaya mendapatkan sokongan Perancis dan 10 negara Arab dalam kempennya untuk melancarkan serangan 'lebih agresif' ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS).
Hasrat AS itu disokong 10 negara Arab yang bersetuju membentuk pakatan bagi menyelaraskan kempen ketenteraan menentang kumpulan IS, satu langkah besar dalam memberi sokongan serantau kepada rancangan Presiden Amerika, Barack Obama untuk menyerang kumpulan militan itu.
Pakatan itu disertai Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Iraq, Jordan dan Lebanon selepas satu pertemuan menteri-menteri luar negara Arab itu dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry di sini.
Sementara itu, Presiden Perancis, Francois Hollande tiba di Baghdad, Iraq hari ini bagi menyatakan sokongannya kepada rakan sejawatnya, Fuad Masum dalam melaksanakan langkah serupa.
Perancis dilaporkan sudah bersedia untuk menyertai serangan udara ke atas kumpulan militan IS di Iraq, sekiranya diperlukan dan menganjurkan diadakan persidangan antarabangsa tentang Iraq pada 15 September ini.
Dalam pada itu, Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendedahkan kira-kira 20,000 hingga 31,500 anggota IS kini berada di bumi Iraq dan Syria, jumlah yang lebih tinggi daripada anggaran sebelum ini iaitu 10,000 orang.
"Jumlah baharu ini menggambarkan peningkatan keahlian mereka (IS) kerana pengambilan keanggotaan yang lebih banyak dilakukan sejak Jun lalu ekoran kejayaan pertempuran dan pengumuman pembentukan kerajaan Khalifah, peningkatan aktiviti pertempuran dan ditambah dengan faktor risikan,'' kata jurucakap CIA, Ryan Trapani.
Bagaimanapun, Presiden Syria, Bashar al-Assad dan sekutu kuatnya, Rusia mengutuk rancangan Amerika untuk campur tangan di bumi Syria.
"Sebarang tindakan dalam apa juga bentuk tanpa mendapat kebenaran kerajaan Syria adalah merupakan satu serangan ke atas Syria," kata Menteri Hal Ehwal Perdamaian Nasional Syria, Ali Haidar.
Jurucakap kementerian luar Rusia berkata, tindakan satu pihak itu adalah satu 'perlanggaran mentah-mentah' ke atas undang-undang antarabangsa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140913/lu_04/AS-dapat-sokongan-lancar-kempen-agresif-ke-atas-IS#ixzz3D8yb2XAX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

  1. Pemimpin2 Arab yang bersekongkol dengan Amerika untuk memerangi IS merupakan anjing2 dan syaitan2 jelmaan yang akhirnya akan dihancurkan oleh rakyat negara mereka sendiri, insyaalah.

    ReplyDelete