Sunday, 28 September 2014

IS serang bandar strategik Syria di sempadan Turki

AHAD, 28 SEPTEMBER 2014 @ 2:40 PM

 
BEIRUT: Serangan terbaharu yang diketuai Amerika Syarikat terhadap militan Negara Islam (IS) gagal untuk menghalang kumpulan itu daripada membedil sebuah bandar strategik di Syria berhampiran sempadan Turki, semalam.

Pusat Perintah Amerika Syarikat (CENTCOM) menyatakan, serangan udara itu memusnahkan sebuah bangunan IS dan dua kenderaan bersenjata berhampiran bandar sempadan Kobani, wilayah yang dikepung pemberontak sejak 10 hari lalu.

Menurut CENTCOM, lapangan terbang, pusat kawalan dan latihan berhampiran kubu kuat IS di Raqqa adalah antara sasaran yang musnah dalam tujuh serangan udara oleh AS, Arab Saudi, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu menggunakan pesawat pejuang dan pesawat kawalan jauh.

Tiga serangan udara di Iraq pula memusnahkan empat kenderaan bersenjata IS dan kedudukan anggota militan itu di barat daya Arbil.



Sementara itu, Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) menyatakan dua jet pejuang Britain juga terbang ke Iraq, sehari selepas Parlimen UK membenarkan serangan bom terhadap kumpulan militan IS di negara itu, namun misi berkenaan adalah untuk mengumpul maklumat berbanding melancarkan serangan udara.

Sejak operasi dilancarkan di wilayah Syria dan Iraq, militan IS yang mengisytiharkan pembentukan khalifah Islam, telah memenggal kepala tebusan warga Barat dan mengarahkan puak Syiah dan bukan Islam untuk menukar agama atau berdepan hukuman mati.

Kejadian itu mendorong Presiden AS, Barack Obama untuk mengarahkan tentera AS kembali ke Iraq, selepas keluar dari negara itu pada tahun 2011, sekali gus bertindak ke atas Syria untuk kali pertama.

Tentera AS menjalankan serangan di Iraq sejak 8 Ogos lalu dan di Syria pada Selasa lalu dengan bantuan sekutu Arab dalam kempen yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan memusnahkan kumpulan militan. - Reuters

No comments:

Post a Comment