Diterbitkan: Jumaat, 22 Ogos 2014 10:19 AM
Lelaki berusia 52 tahun ini dipercayai rakyat Malaysia pertama yang terkorban dalam pergolakan tentera Presiden, Bashar al-Assad menentang puak pelampau yang berhasrat menyingkirkannya.
Bukan nama sebenar, Abu Turob dikatakan mengalami kecederaan teruk di dada yang meragut nyawanya dalam pertempuan di Hama pada Selasa.
Kejadian itu berlaku pada pukul 2 petang pada 19 Ogos lalu selepas diserang penembak hendap kata sumber yang rapat dengan mangsa kepada The Star.
Dikenali sebagai Pak Long di kalangan pejuang militan Malaysia di Syria, jenazah Abu Turob dikebumikan di Kafer Zeta.
Tiga lagi rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Abu Aisyah, Abu Tolhah dan Abu Ain bagaimanapun mengalami kecederaan akibat letupan bom di Arzaa.
Bekas pemain drum kumpulan rock, Akel Zainal mengesahkan jenazah Abu Turob sudah dikebumikan di negara itu.
"Ketika saya mendengar berita itu pada tengahari Selasa mengenai ramai rakyat Malaysia cedera dalam pertempuran dan kematian Abu Turob, saya berharap ia tidak benar," katanya.
Akel, yang ditugaskan untuk mempertahankan Arzeh ketika diserang berkata, dia sempat melihat jenazah Abu Turob semasa dalam perjalanan ke medan pertempuran.
Beliau juga menyifatkan Abu Turob sebagai seorang yang mudah mesra dan berkeperibadian pemurah.
Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra berkata, pihaknya akan mendapat pengesahan pihak berkuasa Syria berhubung kejadian yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, proses pengesahan bagaimanapun akan mengambil masa beberapa hari.
"Kami mengambil maklum dakwaan bahawa tiga rakyat Malaysia terbabit dalam kegiatan militan di Syria di mana seorang meninggal dunia, manakala dua lagi mengalami kecederaan," katanya.
No comments:
Post a Comment