Saturday, 8 November 2014

Beribu-ribu kematian Ebola tidak dilaporkan


REUTERS - PETUGAS perubatan memakai sut perlindungan bertugas di sebuah fasiliti kesihatan dekat sempadan Liberia-Sierra Leone .


NEW YORK – Wabak demam Ebola yang terus mengganas dipercayai membunuh lebih ramai mangsa berbanding 4,818 kematian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata seorang pakar agensi itu.
Ketua Strategi WHO, Christopher Dye berkata, beribu-ribu kematian akibat virus maut itu tidak direkodkan.
“Banyak kematian melibatkan Ebola yang tidak dilaporkan,” kata Dye kelmarin sambil menambah, kira-kira 5,000 kematian akibat virus itu dipercayai gagal dicatat oleh WHO.
Anggaran tersebut katanya, dibuat berdasarkan purata kematian 70 peratus pesakit Ebola di kawasan paling teruk dilanda wabak itu di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.
Menurutnya, bilangan kes Ebola dilaporkan setakat ini yang mencecah 13,042 orang menunjukkan terdapat banyak kematian yang tidak dilaporkan.
“Situasi ini berlaku kerana ramai orang mengebumikan mayat pesakit Ebola secara rahsia kerana tidak mahu pihak berkuasa campur tangan dalam upacara pengebumian seperti memandikan dan menyentuh mayat yang menjadi punca wabak ini menular dengan pantas,” jelas Dye.
Dalam pada itu, data terbaharu WHO mengenai angka kematian dan jangkitan Ebola menyebabkan kekeliruan kerana ia menunjukkan penurunan.
Angka yang disiarkan WHO Rabu lepas menunjukkan terdapat 4,818 kematian, turun daripada 4,951 berbanding laporan pada 31 Oktober lalu, manakala jumlah jangkitan Ebola pula seramai 13,042 orang, merosot daripada 13,567 sepanjang tempoh sama.
Kata, Dye keadaan itu berlaku ekoran WHO menggunakan pangkalan data yang berbeza bagi mengira purata jangkitan dan kematian akibat wabak itu.
“Apa yang jelas, ramai orang terus meninggal dunia akibat epidemik Ebola,” ujarnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3IQYrAEaa 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment