DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 400 penduduk dan tentera Syria menjadi mangsa terbaharu kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menawan bandar bersejarah Palmyra.
Lebih menyedihkan, mayat dibiarkan bergelimpangan di jalan raya di bandar di mana terbinanya bangunan tinggalan empayar Rom, manakala berita kejayaan IS menawan tentera Syria disebarkan menerusi beberapa gambar yang diedarkan.
Sebelum ini, IS mendakwa membunuh hampir 300 tentera kerajaan, dua hari selepas menawan bandar purba berkenaan.
Gambar yang disiarkan kumpulan itu menunjukkan seramai 20 askar Syria kelihatan ketakutan dan berlutut di hadapan kamera.
Beberapa aktivis melaporkan di media sosial, mereka melihat beratus-ratus mayat bergelimpangan di jalan raya selepas bandar itu ditawan, Rabu lalu.
Bendera IS dikibarkan di atas bangunan di Palmyra melambangkan kejayaan kumpulan militan itu menawan bandar purba itu.
Selain melakukan pembunuhan kejam, militan IS juga menggeledah rumah dan premis perniagaan ketika memburu tentera Syria yang bersembunyi serta menggunakan pembesar suara bagi memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menyembunyikan pasukan keselamatan itu.
Ramai penduduk memberi maklumat kepada militan IS mengenai askar Syria yang menyamar sebagai orang awam.
Malahan, IS turut bertindak tanpa belas kasihan apabila memuat naik video di laman Facebook pro-IS menunjukkan penduduk dan militan mengerumuni mayat dua lelaki berlumuran darah yang memakai seragam tentera di jalan raya.
“Biarkan semua penduduk melihat mereka ini,” kata seorang militan.
No comments:
Post a Comment