Baghdad: Tentera Iraq berjaya menawan semula kawasan di barat Iraq semalam dan dilaporkan mara menuju ke Ramadi, seminggu selepas bandar itu jatuh ke tangan kumpulan militan Negara Islam (IS).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53134#sthash.tepziBbA.dpuf
Seorang pegawai polis dan seorang pemimpin pejuang Sunni di kawasan itu memberitahu, mereka berjaya menawan semula bandar Husaiba al-Sharqiya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Ramadi dengan bantuan militan Syiah.
Tentera Iraq dan pejuang Sunni serta Syiah melancarkan serangan balas terhadap IS yang kini cuba mara ke bahagian timur menuju ke sebuah pangkalan tentera kerajaan selepas menawan Ramadi.
“Kami berjaya menguasai semula Husaiba dan merancang untuk mara lebih jauh,” kata seorang pemimpin Sunni, Amir al-Fahdawi.
“Moral pejuang kini tinggi selepas kehadiran pasukan bantuan dan bekalan senjata,” tambahnya.
Ujarnya, jet pejuang tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mengebom kedudukan IS di tebing Sungai Furat.
Militan IS melancarkan serangan mortar dan penembak tepat dari seberang sungai itu bagi menghalang kemaraan tentera kerajaan.
Kejatuhan Ramadi seminggu yang lalu dianggap kekalahan terbesar tentera Iraq dalam tempoh setahun dan meragui keberkesanan serangan udara tentera bersekutu.
AS dan beberapa negara sekutu melancarkan serangan udara terhadap kedudukan IS selepas kumpulan itu menawan sebahagian besar Iraq dan Syria serta menubuhkan pemerintahan khalifah.
Tentera Iraq yang dibantu pejuang Syiah mara ke utara Baghdad pada awal tahun ini dan berjaya menawan semula bandar Tikrit dari IS. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:40 AM
No comments:
Post a Comment