Seorang lelaki mengangkat seorang wanita yang cedera dalam serangan bom oleh tentera Syria yang mengenai sebuah sekolah dan bangunan kediaman di Seif al-Dawla di Aleppo, semalam. REUTERS
BEIRUT 3 Mei – Serangan udara tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di utara Syria mengakibatkan sekurang-kurangnya 52 orang awam terbunuh.
Badan Pemerhati dan Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan keganasan di beberapa tempat di Syria termasuk serangan roket oleh pemberontak di wilayah Aleppo mengakibatkan 15 orang awam lagi terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.
Pengarah badan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman memberitahu AFP serangan tentera perikatan diketuai AS awal Jumaat lalu itu ke atas perkampungan Birmahle di wilayah Aleppo itu turut mengakibatkan tujuh kanak-kanak terbunuh, dan pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menyelamatkan 13 yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Serangan udara itu dilancarkan ketika militia Kurdis dan pemberontak Syria bertempur dengan kumpulan militan IS di sebuah bandar terletak kira-kira dua kilometer dari Birmahle.
‘‘Tiada seorang pun anggota IS terbunuh,’’ dalam serangan ke atas Birmahle, kata Abdel Rahman.
Seorang jurucakap Pemerintah Pusat AS, Kol Patrick Ryder berkata, tidak ada maklumat untuk menyokong dakwaan bahawa serangan udara itu mengakibatkan penduduk awam terbunuh.
Berita tentang serangan itu dilaporkan ketika Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper melawat Iraq, beberapa hari selepas Parlimen Kanada meluluskan bantuan tambahan kepada kempen serangan terhadap IS oleh tentera pakatan.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu oleh pasukan petugas bersama tentera perikatan berkata, mereka telah melancarkan enam serangan udara ke atas IS dekat Kobane.
Sebelum serangan itu, serangan tentera pakatan turut membunuh 66 orang awam.
Serangan roket di kawasan kediaman yang dikuasai IS di wilayah Aleppo yang mengakibatkan 15 orang awam terbunuh, termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang wanita, kebanyakan mereka dari satu keluarga itu, bertujuan membalas dendam atas kematian pemimpin mereka, Badr Khaled Siraj, yang lebih dikenali sebagai Khaled Hayyani, kata Abdel Rahman. – AFP
No comments:
Post a Comment