Wednesday, 29 July 2015

Budak Syria dipukul


Hanya kerana jual tisu kepada pelanggan di restoran
29 Julai 2015 12:47 AM




ISTANBUL 28 Julai - Hanya kerana menjual tisu kepada pelanggan, seorang pelarian kanak-kanak Syria dipukul dengan teruk oleh seorang pengurus restoran di Turki, sekali gus mencetuskan kemarahan dan meraih simpati rakyat di negara ini.
Kisah tragis budak lelaki yang dikenali sebagai Ahmed Hamdo Abeyd itu, tersebar luas dalam laman sosial menerusi gambar yang menunjukkan gambar kanak-kanak terbabit menangis dalam keadaan hidung berdarah.
Selain itu, beberapa gambar yang menunjukkan Ahmed Hamdo dibelasah beberapa lelaki turut dimuat naik.
Menurut portal Mail Online, insiden memalukan itu dipercayai berlaku di sebuah restoran di Dataran Basmane dekat bandar Izmir, barat Turki, sekali gus menarik perhatian Perdana Menteri, Ahmed Davutoglu yang mahu nasib budak lelaki berkenaan dibela.
Akhbar tempatan, Hurriyet Daily yang memetik kenyataan Ahmed Hamdo berkata, dia hanya menjual tisu kepada orang awam dan tidak melakukan sebarang kesalahan.
Bagaimanapun katanya, ketika dia menjual tisu kepada seorang lelaki di restoran itu, pengurus dan beberapa staf lain menariknya lalu memukul dengan teruk.
“Mereka turut memijak saya, tetapi mujur beberapa pelarian Syria yang berada di lokasi kejadian membantu saya,” katanya.
Berdasarkan laporan portal Daily Sabah, pengurus restoran itu marah dengan tindakan Ahmed Hamdo mengganggu pelanggan melalui aktiviti menjual tisu.
Disebabkan kanak-kanak berkenaan melawan, pengurus terbabit bertindak menampar dan terus memukulnya tanpa rasa bersalah, sekali gus memaksa orang ramai masuk campur untuk menyelamatkan budak itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap pengurus terlibat berhubung kejadian tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-syria-dipukul-1.118059#sthash.C6CrCvCw.dpuf

No comments:

Post a Comment