Monday, 7 September 2015

Jerman rai ketibaan pelarian


SEKUMPULAN penduduk bandar Munich dilihat melambai kepada pelarian yang baru tiba di Stesen Kereta Api Munich, Jerman kelmarin. - REUTERS


MUNICH – Jerman semalam bersiap sedia menerima beratus-ratus lagi pelarian yang masuk dari Hungary melalui Austria, sehari selepas beribu-ribu pelarian tiba dan disambut oleh sukarelawan yang memegang papan tanda ‘Selamat Datang ke Jerman’.
Negara Kesatuan Eropah yang paling padat penduduk ini dijangka mencapai rekod baharu lebih 800,000 orang yang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan di samping jumlah sukarelawan tertinggi dalam sejarah membantu mereka yang baharu tiba.
Kelmarin sahaja sekitar 8,000 imigran menyeberang masuk ke sempadan Jerman, jelas polis persekutuan kepada agensi berita AFP.
Di bandar Munich, keluarga pelarian memegang anak kecil dan sedikit harta benda dilihat tersenyum ketika mereka di­sambut dengan sorakan, makanan dan air botol oleh penduduk setempat.
Stesen Kereta Api Munich menyaksikan sekitar 6,800 orang tiba kelmarin, kata pihak berkuasa tempatan.
Ketika pelarian mula turun daripada kereta api, polis di sini menunjukkan mereka ke arah bas-bas yang menunggu untuk membawa kumpulan itu ke penempatan sementara yang dibuka di bangunan awam, hotel dan markas tentera di seluruh negara.
“Orang di sini melayan kami dengan sangat baik, mereka melayan kami seperti manusia, tidak seperti di Syria,” kata seorang pelarian dikenali sebagai Mohammad, 32, yang datang dari bandar Qusayr, Syria.
Walaupun Jerman menyaksi­kan beberapa perhimpunan membenci orang dari negara lain dan serangan ke atas warga asing, negara ini juga mencatatkan banyak sokongan, derma dan sukarelawan dalam kalangan penduduk yang percaya mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3l0K4X0CO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment