|
VIENNA – Beribu-ribu imigran masuk ke Austria dari Hungary kelmarin dalam peristiwa yang disifatkan Vienna sebagai amaran bahawa Eropah berdepan krisis pelarian terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
“Situasi di Eropah kini teruk. Saya harap ini (kebanjiran imigran) akan menjadi amaran bahawa situasi sekarang tidak boleh dibiar berterusan,” kata Menteri Luar Austria, Sebastian Kurz ketika tiba untuk rundingan di Luxembourg bersama rakan-rakan sejawatnya dari Kesatuan Eropah berhubung isu tersebut.
Sementara itu, polis berkata, kira-kira 4,000 imigran menyeberangi sempadan malam kelmarin dan pagi semalam dengan angka tersebut dijangka meningkat kepada 10,000 orang lewat hari yang sama.
Mereka tiba selepas Hungary yang menjadi negara persinggahan imigran berkenaan, bertindak menghantar beribu-ribu pendatang asing yang terkandas di Budapest dengan sejumlah bas ke sempadan Austria.
Tindakan itu dibuat selepas kira-kira 1,200 imigran berjalan kaki dari Budapest ke sempadan Austria dalam perjalanan sejauh 175 kilometer.
Di Vienna, kalangan imigran yang tiba disambut oleh sejumlah sukarelawan. Mereka membantu mengagihkan makanan, minuman, produk sanitari dan tiket kereta api.
“Ibu jari kaki saya sakit, banyak darah keluar kerana kami terlalu banyak berjalan. Saya mahu pergi ke Jerman tetapi kemudian berhenti,” kata seorang imigran dari Syria berusia 26 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, polis Jerman berkata, pihaknya menjangkakan seramai 7,000 imigran akan tiba di wilayah Jerman menjelang lewat semalam.
Beratus-ratus ribu pendatang asing berkenaan melakukan perjalanan menempuh bahaya menuju ke Eropah pada musim panas kali ini dengan kebanyakan mereka mengimpikan untuk menetap di barat Eropah terutamanya di Jerman.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam menunjukkan seramai 366,402 imigran mendarat di Eropah melalui jalan laut dengan 2,800 lagi mati atau hilang.
Sejumlah 49 peratus daripada mereka melarikan diri daripada perang saudara dan kumpulan militan Islamic State di Syria. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3l0KMEzSy
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment