Friday, 2 October 2015

Arab Saudi bidas serangan Rusia


GAMBAR yang dirakam tentera Rusia menunjukkan serangan udara Moscow di Syria kelmarin. - AFP


RIYADH – Arab Saudi mahu Rusia menghentikan operasi ketenteraannya di Syria, kata seorang diplomat negara berkenaan ekoran lokasi serangan Moscow tiada pejuang kumpulan militan Islamic State (IS).
Bercakap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York kelmarin, Abdallah Al-Mouallimi berkata: “Delegasi negara saya menyuarakan kebimbangan berkaitan operasi ketenteraan oleh Rusia di Homs dan Hama hari ini (kelmarin) kerana tiada militan IS di lokasi serangan. Serangan udara meragut nyawa yang tidak berdosa. Kami menuntut ia dihentikan serta-merta dan tidak lagi diulangi.”
“Kepada negara-negara yang mendakwa telah menyertai perang menentang IS baru-baru ini, mereka tidak boleh hanya memerangi kumpulan militan itu tetapi pada masa yang sama, turut menyokong keganasan rejim Presiden Bashar al-Assad di Syria,” tambahnya. Rusia melancarkan siri serangan udara pertamanya di Syria kelmarin dalam operasi ketenteraan yang didakwa Moscow bertujuan untuk menewaskan IS.
Barat, bagaimanapun, menuduh operasi ketenteraan itu bagi membantu Bashar menewaskan musuh-musuhnya. Syria merupakan sekutu paling rapat Rusia di Asia Barat.
Rusia baru-baru ini menempatkan 32 jet pejuang di Syria, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat.
Armada itu termasuk empat pesawat pengebom Su-34 dan 12 jet Su-25 bersama 12 pesawat penyerang Su-24.
Semua pesawat itu ditempatkan di sebuah lapangan terbang kecil yang ditukar menjadi pangkalan hadapan operasi Rusia, di rantau Latakia, barat laut Syria.
Selain jet pejuang, Rusia menempatkan seramai 500 komando marinnya di pangkalan itu di samping 2,000 kakitangan tentera lain.
Moscow turut menghantar sejumlah kereta kebal, kereta perisai dan helikopter yang disokong beberapa pasukan meriam. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3nMkKHh5Z 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment