Friday, 2 October 2015

Rusia kata serang IS di Syria, tapi...


Rusia kata serang IS di Syria, tapi...

1 OKTOBER 2015
Rusia kata serang IS di Syria, tapi... Kanak-kanak terseksa akibat perang di Syria - Gambar hiasan

HOMS - SYRIA. Selepas 30 serangan udara sejak dimulakan semalam, kerajaan Rusia dituduh menyasarkan lokasi pemberontak kerajaan rejim Bashar al-Assad dan bukannya militan IS seperti yang digembar-gemburkan.

Menurut Sky News, berpuluh-puluh orang awam termasuk lima kanak-kanak maut dalam gelombang pertama serangan udara Rusia.

Pihak pemberontak yang mendapat bantuan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) juga menjadi sasaran.

Moscow bagaimanapun sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Syrian National Council, sebuah kumpulan yang menentang rejim Assad mendakwa 36 orang maut dalam serangan udara Rusia di utara Homs.

Ketua kumpulan berkenaan, Khaled Khoja memberitahu tiada sebarang kehadiran militan IS di kawasan tersebut yang dibom sebanyak empat kali oleh Rusia semalam.

Ketika ini, kerajaan Perancis dan AS juga menyatakan keraguan mereka terhadap serangan udara Rusia.

Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter menuduh Rusia membuat serangan di kawasan yang bebas pengaruh militan IS.

Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian juga membuat tuduhan yang sama.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia pula meyelar laporan-laporan luar dan menggelarkan ia sebagai 'perang maklumat' (information war).

Rusia memulakan serangan udaranya semalam selepas kerajaan rejim pimpinan Assad meminta bantuan Rusia.

Kira-kira 32 pesawat pejuang Rusia ditempatkan di bandar pelabuhan, Latakia dan dikawal oleh 1,700 anggota marin Rusia ketika ini.

No comments:

Post a Comment