RAKAMAN video memaparkan Fadi Ammar Zidan dipaksa berjalan ke arah kereta kebal sebelum dilenyek hidup-hidup oleh kumpulan militan IS, baru-baru ini. AGENSI
DAMSYIK 27 Okt. – Militan Negara Islam (IS) semalam menyiarkan rakaman video terbaharu yang mengerikan apabila memaparkan seorang tentera Syria berusia 19 tahun dilanggar hidup-hidup oleh sebuah kereta kebal milik kumpulan tersebut , baru-baru ini.
Menurut portal Mail Online yang memetik Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, ketika kejadian, anggota tentera yang memakai baju berwarna jingga dikenali sebagai Fadi Ammar Zidan itu dipaksa berjalan di hadapan kereta kebal yang menuju ke arahnya.
Pada masa sama, seorang anggota IS yang memakai jubah dilihat berkata sesuatu kepadanya sebelum mangsa dilanggar hidup-hidup dalam keadaan tangan bergari.
Video mengerikan itu dipercayai dirakamkan di tengah-tengah jalan raya di kawasan padang pasir sambil mangsa dikelilingi anggota IS yang memegang senjata.
Fadi kemudian berjalan ke arah kereta kebal sebelum video berakhir dengan bunyi tembakan ke arahnya.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria mendakwa, pihaknya menerima maklumat tersebut bulan lalu bahawa militan IS menggunakan kaedah tersebut terhadap tentera kerajaan Syria.
Badan Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di London itu mendakwa, kes itu merupakan kejadian pertama tentera Syria dihukum dengan cara dilenyek kereta kebal hidup-hidup oleh militan IS.
Awal minggu ini, seorang tentera Amerika Syarikat (AS), Sarjan Joshua Wheeler, 39, menjadi anggota tentera pertama yang dibunuh dalam pertempuran di utara Iraq dengan militan IS.
No comments:
Post a Comment