Astana: Presiden Vladimir Putin berkata semalam, serangan udara yang dilakukan tentera negaranya di Syria menyebabkan ratusan militan terbunuh,
“Depoh senjata dan puluhan kemudahan ketenteraan, ratusan militan dan sejumlah besar senjata mereka musnah,” kata pemimpin Russia itu ketika mesyuarat pemimpin negara bekas Soviet di Astana, Kazakhstan.
Dia menegaskan serangan udara Russia itu terhadap kumpulan Negara Islam (IS) dan militan lain di Syria akan diteruskan selagi operasi ketenteraan Syria terhadap penentang Presiden Bashar Al-Assad tidak berakhir.
“Hasil serangan udara yang dilakukan di Syria amat membanggakan sejak ia bermula 30 September lalu,” katanya.
Pesawat Russia setakat ini sudah melakukan lebih 600 serangan, menyasarkan kedudukan penentang Bashar.
Putin juga memberitahu, antara 5,000 dan 7,000 rakyat Russia serta beberapa negara bekas Soviet lain menyertai IS di Syria.
“Kami tidak akan membenarkan mereka menggunakan pengalaman yang diperoleh di Syria untuk melakukan keganasan di Russia,” katanya.
Dalam pada itu, Putin juga menggesa diwujudkan kerjasama antara negara bekas Soviet bagi menghalang kemungkinan militan dari Afghanistan menyusup masuk ke negara bekas Soviet. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:53 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85800#sthash.TNJoMpKM.dpuf
No comments:
Post a Comment