Add caption |
Gambar bertarikh 18 September lalu memaparkan anggota penentang melancarkan serangan meriam semasa pertempuran dengan tentera Syria di wilayah Idlib, barat laut negara itu. AFP
NEW YORK 30 Sept. – Rusia buat kali pertama melancarkan serangan udara di Syria hari ini, beberapa jam selepas Parlimen negara itu meluluskan pendekatan ketenteraan seperti yang diminta Presiden, Bashar al-Assad untuk menangani ancaman militan Negara Islam (IS) dan kumpulan penentang kerajaan.
Menurut pegawai Amerika Syarikat (AS), serangan dilancarkan di Homs.
“Kedutaan AS di Syria dimaklumkan oleh seorang pegawai Rusia dari Baghdad pagi ini bahawa misi tempur oleh pesawat Rusia akan dimulakan. Pegawai itu meminta supaya pesawat tempur AS menjauhi ruang udara Syria.
“Media-media turut melaporkan serangan udara di Syria oleh Rusia telah bermula,” katanya.
Terdahulu, Presiden Rusia, Vladimir Putin diberi kebenaran oleh Parlimen untuk menggunakan kuasa tentera di Syria, langkah yang dijangka memburukkan lagi konflik di negara bergolak itu.
Menurut Ketua Pentadbiran Presiden, Sergei Ivanov, Parlimen Rusia sebulat suara menyokong permintaan Putin untuk melancarkan serangan udara, sekali gus mengukuhkan kedudukan kerajaan Syria yang juga sekutu kuat Moscow.
Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas Presiden AS, Barack Obama menggesa Bashar berundur jika militan IS berjaya ditewaskan.
Obama berkata demikian ketika beliau mempengerusikan sidang khas antikeganasan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan laporan kempen serangan udara memerangi militan IS di Iraq dan Syria.
“Saya percaya tugas untuk memusnahkan ancaman IS di Syria memerlukan seorang pemimpin baharu.
“Washington sedia bekerjasama dengan sekutu kuat Syria iaitu Iran dan Rusia bagi mencari jalan penyelesaian politik dengan harapan membuka laluan kepada proses peralihan kuasa,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment