19 Disember 2015 1:11 AM
NEW YORK 18 Dis. – Masa depan Syria terus terumbang-ambing apabila lima anggota tetap Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemukan jalan buntu mencapai persetujuan untuk melaksanakan resolusi bagi menamatkan perang saudara di negara itu yang berlanjutan sejak lima tahun lalu.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Samantha Power berkata, kelima-lima negara anggota iaitu China, Rusia, Perancis, Britain, dan Washington sendiri masih gagal mencapai kata sepakat terhadap draf resolusi yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan pada hari ini di New York, sebagai usaha antarabangsa menamatkan konflik di Syria.
Pada asalnya, negara-negara Barat berharap pihak majlis meluluskan resolusi yang membuka ruang untuk kerajaan Syria dan kumpulan penentang bagi membentuk kerajaan perpaduan menerusi rundingan damai dalam tempoh selama dua tahun bermula awal tahun depan.
Pelan damai itu yang turut memuatkan syarat perjanjian gencatan senjata di seluruh Syria kecuali militan Negara Islam (IS), Barisan Nusra dan beberapa kumpulan bersenjata lain, dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB melalui dua pusingan peringkat kementerian di Vienna baru-baru ini.
Susulan perkembangan terbaharu di New York, Duta Rusia, Vitaly Churkin memaklumkan bahawa terdapat perbalahan pendapat yang ketara antara lima kuasa besar dunia.
“Saya tidak sangka pertikaian boleh berlaku kerana ada tindakan yang tidak disengajakan atau disengaja, untuk mengurangkan isi kandungan pelan yang dipersetujui di Vienna dan kami tidak mahu perkara itu berlaku.
“Malah, wujud beberapa masalah untuk mencapai persetujuan berhubung draf resolusi itu,” katanya.
Bagaimanapun Jerman masih meletak harapan terhadap pelan damai itu apabila Menteri Luarnya, Frank-Walter Steinmeier berkata, terdapat beberapa perkembangan positif dalam rundingan di Syria dan satu daripada matlamat pertemuan di New York adalah untuk menetapkan tempoh rundingan antara pihak kerajaan dan penentang Syria.
Dalam pada itu, menteri-menteri luar dari lebih 12 buah negara termasuk Rusia, AS, Turki, Arab Saudi, Iran, dan wakil dari Eropah serta Asia Tengah, bersetuju mengadakan rundingan di Hotel Palace di New York hari ini bagi mencari jalan menamatkan peperangan di Syria. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/masa-depan-syria-terus-kelam-1.170528#sthash.RAq3sJDF.dpuf
No comments:
Post a Comment