GAMBAR fail merakamkan seorang anggota penyelamat mengangkat seorang kanak-kanak pelarian Syria untuk dibawa ke tempat selamat selepas sekumpulan pelarian Syria mendarat di pantai Pulau Lesbos setelah menyeberangi Laut Aegean dari Turki pada 23 September 2015. REUTERS
AYVACIK, Turki 30 Jan. - Sekurang-kurangnya 33 orang pelarian termasuk lima kanak-kanak lemas apabila bot yang mereka naiki karam di Laut Aegean ketika mereka cuba menyeberangi laut itu dari Turki ke Greece, hari ini.
Pasukan pengawal pantai Turki berkata, sejumlah pelarian yang tidak diketahui jumlahnya masih hilang dalam insiden terbaharu bot pelarian karam di Laut Mediterranean itu.
Agensi berita Dogan melaporkan, setakat ini sebanyak 43 orang pelarian berjaya diselamatkan.
“Kami sedih, sekurang-kurang-nya 20 orang rakan kami masih hilang,” kata seorang mangsa yang terselamat.
Pelarian dari Syria dan Afghanistan itu berlepas dari daerah Ayvacik di wilayah Canakkale dalam usaha mereka untuk ke Pulau Lesbos.
Dalam perkembangan berasingan di Syria, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang penduduk bandar Madaya maut akibat kebuluran sejak konvoi bantuan mula memasuki bandar itu yang dikepung tentera kerajaan, bulan ini.
Menurut mereka, berpuluh-puluh penduduk lagi di bandar itu berdepan bahaya maut kerana kekurangan zat yang teruk.
Setakat ini, MSF merekodkan sebanyak 46 kematian akibat kebuluran di Madaya sejak Disember lalu.
Namun, yayasan perubatan menyifatkan angka kematian adalah lebih tinggi.
“MSF mempunyai laporan perubatan yang jelas tentang kematian 46 orang akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu,’’ kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. – AFP
No comments:
Post a Comment