Sunday, 31 January 2016

Hantar pulang 80,000

Stockholm: Sweden bercadang mengusir sehingga 80,000 peminta suaka gagal permohonan mereka di negara itu, kata menteri dalam negeri, Anders Ygeman dalam langkah terbaru negara Kesatuan Eropah (EU) memperketat sempadan dalam menghadapi krisis pendatang asing.
Kata Ygeman, pengusiran besar-besaran pendatang yang tiba pada tahun lalu itu menggunakan pesawat disewa khas dan dibuat secara berkala selama beberapa tahun.
“Setakat ini jumlahnya sekitar 60,000 orang, namun itu mungkin meningkat kepada 80,000,” katanya dipetik media Sweden.
Tambahnya, polis dan pihak berkuasa pendatang juga terbabit dalam menguruskan pelan itu.
Sweden menerima lebih 160,000 pencari suaka pada 2015, meletakkannya sebagai antara negara paling banyak menerima pendatang dalam EU.
Lebih sejuta orang memasuki Eropah tahun lalu - majoritinya pelarian dari negara bergolak seperti Syria, Iraq dan Afghanistan - menjadikan benua itu berdepan krisis pendatang terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Kebanyakannya memasuki Eropah menggunakan laluan laut dari Turki ke Greece dan menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), lebih 46,000 tiba di pantai Eropah tahun ini dengan 170 maut dalam perjalanan.
Biarpun jumlah kemasukan menunjukkan sedikit penyusutan disebabkan keadaan sejuk, kebanyakan negara termasuk Austria, Jerman, Denmark, Sweden dan Perancis mengetatkan peraturan suaka dalam usaha mengekang pendatang baru.
Sementara itu, Denmark turut dikritik penggubal undang-undangnya minggu ini membenarkan pihak berkuasa merampas barangan berharga pelarian dalam usaha menghalang ketibaan pendatang baru.
Ada yang menyamakan langkah itu seperti Nazi yang merampas emas daripada pelarian Yahudi ketika Holocaust, dengan Human Rights Watch (HRW) mengecam rang undang-undang itu sebagai ‘keji.’
Kebimbangan juga mula memuncak berhubung kesesakan di pusat perlindungan pendatang dengan pihak berkuasa digesa meningkatkan kawalan berikutan kematian seorang pekerja di lokasi seumpama itu di Sweden.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:05 AM


SEBUAH keluarga dari Syria tidur di luar pejabat Lembaga Migrasi Sweden di Marsta, berhampiran Stockholm. Sweden menjangka menghantar pulang 80,000 peminta suaka yang gagal permohonan mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/110932#sthash.8mgumOw9.dpuf

No comments:

Post a Comment