Tuesday, 9 February 2016

Serangan udara Rusia berjaya usir pemberontak Syria




SEORANG kanak-kanak pelarian Syria membawa barang miliknya ketika tiba di sempadan Turki selepas meninggalkan bandar Aleppo baru-baru ini. - AFP


BEIRUT – Pemberontak Syria telah berundur dari tiga buah perkampungan yang berdepan serangan udara Rusia di wilayah Aleppo berhampiran sempadan Turki, menyebabkan kampung-kampung terbabit ditawan pejuang Kurdish, dakwa sebuah badan pemantau semalam.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria mendedahkan pemberontak meninggalkan kampung Aqlamiyah, Deir Jamal dan Mareanar kelmarin atas permintaan penduduk di sana yang khuatir rumah mereka akan dibedil.
Tindakan itu membolehkan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) masuk dan mengambil alih kuasa di ketiga-tiga kampung tersebut, hanya beberapa hari selepas pemberontak Syria kehilangan beberapa pekan berhampiran kepada puak Kurdish.
Aqlamiyah dan Mareanar terletak berhampiran pangkalan udara strategik tentera, Minnigh yang ditawan pemberontak sejak bulan Ogos 2013.
“Serpihan kumpulan pemberontak di utara bandar Aleppo semakin ‘tersepit’ antara pasukan YPG dan pejuang prokerajaan,” kata satu sumber tentera kepada agensi be­rita AFP.
“Selepas beberapa pertempuran antara pemberontak dan YPG, penduduk kampung terbabit mendesak pemberontak menyerahkan kuasa kepada puak Kurdish bagi mengelak rumah mereka menjadi sasaran jet pejuang Rusia,” jelas ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Sejak September lalu, tentera udara Rusia telah melancarkan banyak serangan udara ke atas kumpulan yang menentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Kempen pengeboman udara itu terus diperhebatkan sejak beberapa minggu lalu di wilayah Aleppo, membolehkan tentera bersekutu dan kerajaan mara lebih jauh serta memaksa berpuluh ribu rakyat Syria melarikan diri ke arah sempadan Turki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3zcqOBQzB 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment