Monday, 21 March 2016

Derita pelarian Palestin, Syria di bumi Lubnan

SEMASA ISNIN, 21 MAC 2016 @ 8:27 AM

 Oleh Alzahrin Alias zahrin@bh.com.my

 PELARIAN yang mendapat bantuan makanan dari misi Aman Palestin.

BEIRUT: Mengemis di negara orang. Itulah nasib pelarian Palestin dan Syria yang kini menumpang simpati di Lubnan. Kebanyakan pelarian yang berada di kem sekitar Beqaa, bukan saja tertekan dari segi emosi tetapi mereka juga semakin terjerumus ke dalam kancah kemiskinan dan menambah hutang. Mereka perlu membayar sewa bilik yang hanya berkeluasan tidak lebih 150 kaki persegi dengan harga sekitar AS$100 hingga AS$500 (RM400 hingga RM2,000) sebulan. Apa yang menambah penderitaan pelarian di sini adalah mereka tidak dibenarkan bekerja, bercucuk tanam atau berniaga. Sumaiyah Halaf, 36, pelarian Palestin yang melarikan diri dari kem Yarmouk, Damsyik, Syria, bersama keluarganya mengakui kehidupan di Beqaa tidak jauh beza dari Yarmouk. Dia terpaksa membayar sewa rumah yang hanya berkeluasan 50 kaki persegi dengan harga AS$100 (RM400) sebulan walaupun tiada pekerjaan dan pendapatan tetap. "Keluarga saya seramai enam orang terpaksa berhimpit dalam rumah yang kecil. Tiada pilihan lain walaupun terpaksa membayar sewa yang tinggi. "Kami tidak dibenarkan bekerja apa pun. Tiada sumber pendapatan... hanya perlu mengharap pada bantuan kewangan daripada badan sukarelawan asing. "Itupun tidak mampu untuk tampung sewa rumah apatah lagi untuk membeli barangan keperluan seharian," katanya. Sumaiyah berkata, disebabkan tekanan perlu meneruskan kehidupan, ramai pelarian di sini mengambil jalan mudah dengan berhutang daripada pemilik tanah warga Lubnan. Katanya, perbelanjaan harian semakin tinggi tambahan pula musim sejuk yang bakal berakhir bulan depan. "Mahu atau tidak mahu disebabkan tiada pilihan lain, kami terpaksa bekerja secara 'haram'. Risikonya sangat tinggi kerana jika ditahan tentera Lubnan, kami akan dipenjarakan atau diusir," katanya. Kesengsaraan Sumaiyah ditambah lagi dengan nasib anak keempatnya, Ehsan Mahmud, 4, yang buta sebelah matanya sejak berusia 10 bulan. Mata kiri Ehsan dijangkiti kuman sehingga menyebabkan pakar perubatan terpaksa membuang sebelah mata anaknya itu. Kini Ehsan perlu memakai mata palsu yang memerlukan perbelanjaan perubatan sekitar AS$50 (RM200) sebulan. "Rawatan hanya untuk mencuci mata dan ubat tetapi setiap tahun Ehsan perlu menukar mata palsunya itu. Kos penukaran mata palsu boleh mencecah AS$2,000 (RM8,000)," katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), Awang Suffian Awang Piut, berkata kebanyakan pelarian yang mendiami kem di Beqaa adalah warga Palestin. Katanya, mereka terpaksa keluar dari Palestin ketika keadaan negara itu diserang Israel sebelum menumpang menjadi pelarian di Syria. "Apabila Syria semakin bergolak, mereka terpaksa melarikan diri ke Lubnan. Penderitaan mereka tidak pernah berakhir. "Misi Aman Palestin kali ini juga membantu memberikan bantuan makanan keperluan asas kepada lebih 50 keluarga yang terpilih di kem Fa'our, pinggir Beqaa. "Tujuan kami memilih kem ini adalah kerana ia kurang mendapat bantuan pihak luar disebabkan kem terletak di lereng bukit," katanya. Awang Suffian berkata, misi Aman Palestin seterusnya akan memasuki Syria dalam beberapa hari lagi bagi melihat secara lebih dekat kehidupan penduduk Syria. Selain misi bantuan musim sejuk kali ini, pihaknya juga melancarkan kempen bantuan Ramadan sebagai persediaan penduduk Syria dan Palestin menerima kedatangan bulan puasa tidak lama lagi. Orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang menerusi Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/135622

No comments:

Post a Comment