Monday, 21 March 2016

Situasi pelarian makin terdesak

21 MAC 2016
Situasi pelarian makin terdesak



Kumpulan pelarian tersebut dihalang pihak berkuasa ketika cuba memasuki sempadan Macedonia.

  PERJANJIAN pelarian antara Turki dan Kesatuan Eropah (EU) mula berkuatkuasa, namun bot membawa pelarian dilaporkan terus mendarat di timur Mediterranean sehingga awal semalam.
Kira-kira 1,500 migran menyeberangi Laut Aegean ke Pulau Lesbos di Greece dan seorang bayi berusia empat bulan dilaporkan mati lemas selepas bot dinaikinya terbalik di luar pantai Turki beberapa jam sebelum perjanjian itu dikuatkuasakan.
Bagaimanakah nasib ribuan golongan itu yang terkandas di kem Idomeni di sempadan Greece-Macedonia sejak beberapa minggu lalu.
Kebanyakan daripada mereka masih berharap penutupan sempadan negara Balkan akan ditarik balik dalam masa terdekat bagi membolehkan kumpulan pelarian itu meneruskan perjalanan mereka ke negara Eropah Utara.
Adakah kandungan perjanjian yang menetapkan mana-mana pelarian tanpa dokumen sah supaya dihantar pulang ke Ankara akan mencetuskan krisis baharu?
Ada laporan mendakwa terdapat risalah misteri yang memaparkan peta dan panduan untuk melepasi sekatan sempadan itu melalui barat Idomeni diedarkan dalam kalangan pelarian.
Kira-kira 2,000 migran mencuba nasib untuk melepasi sempadan Macedonia, namun adakah usaha mereka untuk melepasi kawalan pihak berkuasa dan pagar sekatan berhasil?
Ratusan anggota pakar undang-undang dan keselamatan dijangka tiba di Athens untuk membantu melaksanakan perjanjian itu.
Paris dan Berlin juga menawarkan bantuan untuk menghantar 600 pakar pemohon suaka dan polis ke Greece.
Perjanjian kontroversi yang bertujuan untuk mengekang kebanjiran pelarian itu turut mencetuskan bantahan di beberapa bandar termasuk London, Amsterdam dan Vienna.
Kebanyakan kumpulan protes itu menzahirkan sokongan mereka terhadap golongan pelarian terbabit selain melaungkan slogan 'buka sempadan'. - al-Jazeera

No comments:

Post a Comment