23 Mac 2016 12:48 AM
Sebahagian pendatang dari Pakistan menunggu giliran untuk memasuki Kem Moria yang menempatkan pelarian dan pendatang di Pulau Lesbos, Greece, baru-baru ini. AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/greece-mula-tahan-pelarian-1.203579#sthash.h4idI8Wy.dpuf
ATHENS 22 Mac – Greece bertindak menahan beratus-ratus pelarian yang tiba di beberapa pulau di negara ini sejak Ankara dan Kesatuan Eropah (EU) menandatangani perjanjian untuk membendung kebanjiran pelarian dengan menghantar pulang sebahagian besar pencari suaka yang memasuki Eropah ke Turki.
Menurut Press TV, lebih 1,600 pelarian yang tiba di Greece dibawa pusat tahanan di lima pulau di Laut Aegean ketika menunggu permohonan suaka mereka dinilai.
Di bawah perjanjian tersebut, Ankara perlu menerima semua pelarian yang dihantar oleh Greece manakala EU akan menerima beribu-ribu pelarian Syria dari Turki.
Perjanjian itu memerlukan Turki menerima pelarian yang menyeberang ke Greece kelmarin dan penempatan semula pelarian dari Turki ke EU akan bermula pada 4 April ini.
Bagaimanapun, perjanjian itu berdepan rintangan di Pulau Lesbos, lokasi utama ketibaan pelarian dalam jumlah yang ramai ekoran pegawai-pegawai tempatan terpaksa menyesuaikan diri dengan sistem baharu ketika menunggu kedatangan pegawai tambahan dari EU.
Pihak berkuasa Greece menegaskan pihaknya memerlukan masa bagi menghantar pelarian pulang kerana memerlukan ribuan kakitangan untuk menguruskan proses tersebut.
“Proses ini tidak akan menjadi mudah,” ujar Perdana Menteri, Alexis Tsipras.
Sementara itu, Pesuruhjaya Migrasi EU, Dimitris Avramopoulos berkata, perjanjian itu ‘memberi tekanan kepada negara’, tetapi Athens bersedia melaksanakannya.
Turki telah menjadi tuan rumah kepada tiga juta pelarian dari Syria.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian kontroversi itu, EU menawarkan beberapa insentif kepada Ankara termasuk mempercepatkan penyertaan Turki dalam blok itu, menyalurkan bantuan dua kali ganda sehingga 6 juta pound (RM27.5 bilion) dan menyediakan visa perjalanan bebas dalam Zon Schengen menjelang Jun ini.
Dalam pada itu, Canselor Jerman, Angela Merkel pula melahirkan keraguan berhubung kelancaran pelaksanaan perjanjian itu dan menyatakan proses penghantaran itu mungkin hanya bermula pada 4 April ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa kumpulan hak asasi telah membantah perjanjian tersebut.
No comments:
Post a Comment