ATHENS 21 Mac - Sebanyak 1,622 pelarian tiba di pulau-pulau Greece berdekatan Turki sejak Kesatuan Eropah (EU)-Ankara menandatangani perjanjian untuk membendung peningkatan daripada kebanjiran pelarian.
Menurut agensi penyelarasan maklum balas krisis pelarian Greece, SOMP, kira-kira separuh daripada jumlah pelarian itu tiba di Chios dan 698 orang lagi di Lesbos, dua pulau di timur laut Laut Agean berdekatan Turki.
Pengerusi SOMP, Giorgos Kyritsis berkata, peningkatan kedatangan pelarian meningkatkan satu masalah dan persoalan mengenai tujuan sebenar semua pihak dalam perjanjian itu.
Perjanjian yang dicapai dalam sidang EU-Turki pada minggu lepas, bertujuan menghalang laluan yang membolehkan 850,000 pelarian ke Eropah pada tahun lepas, kebanyakannya melarikan diri daripada konflik di Syria.
Bagi setiap rakyat Syria yang dihantar balik, EU akan menempatkan semula seorang penduduk Syria dari kem pelarian di Turki di mana hampir tiga juta orang berada.
Idea tersebut adalah bagi mengurangkan insentif kepada pelarian Syria untuk menggunakan bot penyeludupan manusia melalui laluan berbahaya ke Greece, sebaliknya menggalakkan mereka berada di kem pelarian di Turki untuk mendapat peluang ditempatkan semula di Eropah.
EU juga mempercepatkan run-dingan dalam usaha Ankara untuk menyertai Blok itu, menggandakan bantuan pelarian sehingga enam bilion euro (RM27.48 bilion) dan memberi visa perjalanan percuma kepada rakyat Turki di bawah perjanjian bebas pasport EU, Jun ini.
Semua pelarian yang baru tiba akan dibawa ke pusat pendaftaran oleh pihak berkuasa Greece di lima pulau di Laut Aegean.
Menurut kerajaan Greece, sebanyak 2,300 pegawai dan polis akan membantu dalam operasi tersebut. – AFP
No comments:
Post a Comment