Monday, 9 May 2016

Aleppo simpan banyak sejarah


MUHAMAD ZAID ADNAN 
DAN AZUAR FAHMI MOHD. ALI  |  09 Mei 2016 12:06 AM




BANDAR Aleppo yang kini dilanda perang dan krisis kemanusiaan, sebenarnya menyimpan pelbagai kisah dan banyak sejarah.
Aleppo merupakan bandar terbesar di Syria dan mempunyai populasi paling padat di negara itu.
Sebelum perang meletus, bandar Aleppo mempunyai seramai dua juta penduduk, tetapi kini jumlah itu turun mendadak kepada hanya 400,000 orang.
Terletak kira-kira 360 kilometer dari Damsyik dan 45 kilometer dari timur pos pemeriksaan Bab al-Hawa di sempadan Syria-Turki.
Suatu ketika dahulu, Aleppo dikenali sebagai Halb, yang bermaksud besi atau tembaga. Nama tersebut diambil kerana wujudnya tembaga dan logam yang menjadi sumber ekonomi utama di situ pada zaman dahulu.
Selama berabad-abad, Aleppo menjadi bandar terbesar di Syria dan ketiga terbesar ketika pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah selepas Konstantinopel di Rom dan Kaherah di Mesir.
Walaupun jarak Aleppo begitu dekat dengan Damsyik, namun cara kehidupan penduduknya sangat berbeza dengan penduduk Syria yang lain, daripada aspek identiti, seni bina dan budaya.
Aleppo merupakan salah sebuah bandar tertua di dunia. Berdasarkan kajian arkeologi di Tell Qaramel kira-kira 25 kilometer di sebelah utara Aleppo menunjukkan kawasan itu telah dihuni sejak abad ke-11 sebelum Masehi dan menjadi salah satu penempatan tertua manusia di dunia.
Bandar ini pernah berada di bawah kawalan panglima Islam terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi atau Saladin yang memerintah Dinasti Ayyubiyah pada 1183.
Pada 1260, Aleppo diambil alih oleh bangsa Mongul di bawah pimpinan Hulagu Khan yang bersekutu dengan putera Antiokhia di Turki, Antioch Bohemond VII dan ayah mertuanya yang merupakan pemerintah Armenia, Hetoum I.
Berikutan penaklukan bangsa Mongul, penduduk Islam di Aleppo melarikan diri ke Damsyik untuk mendapatkan perlindungan daripada pemimpin Mesir, Saif ad-Din Qalawun, dan Saif berjaya menawan semula Aleppo sehingga memaksa pengunduran tentera Mongul ke Sungai Eufrat.
Pada pertengahan abad ke-16, Aleppo menggantikan Damsyik sebagai hab utama perdagangan di kawasan Mediterranean kerana lokasinya yang berada di hujung Laluan Sutera, menghubungkan Asia Tengah dan Mesopotamia.
Syarikat Levant of London yang ditubuhkan pada 1581 yang memonopoli perdagangan Inggeris bersama Kerajaan Uthmaniyyah, menjadikan Aleppo sebagai ibu pejabat utama syarikat tersebut hingga akhir abad ke-18.
Kesan perkembangan ekonomi yang pesat di Aleppo pada masa itu, banyak negara di Eropah membuka kedutaan mereka di Aleppo pada abad ke-16 dan ke-17, termasuk Itali (1548), Perancis (1562), Britain (1583) dan Belanda (1613).
Ketika Perang Dunia 1, seiring dengan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah, Aleppo menyerahkan sebahagian besar kawasan pedalaman di bahagian utara wilayah tersebut kepada kerajaan Turki Moden yang mahu membina landasan kereta api bagi menghubungkan Aleppo dan Mosul di Iraq.
Pada 1940-an, Allepo mula kehilangan akses laluan laut utama di Antiokhia, Turki dan Iskandariah, Mesir.
Perang saudara di Syria memburukkan lagi situasi di bandar tersebut yang mengalami kehancuran dan menyukarkan pemuliharaan semula peninggalan seni bina serta monumen bersejarah.
Banyak penduduk di bandar itu, kini melarikan diri berikutan beberapa siri serangan oleh tentera bersekutu dan kumpulan pemberontak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-simpan-banyak-sejarah-1.320049#sthash.cNdyUIoF.dpuf

No comments:

Post a Comment