Berpuluh-puluh bedilan bom dilancarkan di barat Aleppo, mengakibatkan seorang penduduk cedera dan banyak bangunan berhampiran musnah ketika penduduk tempatan dilapor mula kembali ke kediaman masing-masing berikutan pengumuman gencatan senjata itu.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan serangan oleh kumpulan penentang itu yang menguasai bahagian timur bandar itu yang kini terbahagi dua.
“Ini merupakan satu pencabulan gencatan senjata yang jelas,” kata ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, selepas Rusia mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama tiga hari bermula pada pukul 1 pagi waktu Syria.
Menurut badan pemantau itu, jumlah korban sejak keganasan di Aleppo memuncak pada 22 April lalu sehingga kini ialah 286 orang, termasuk 57 kanak-kanak dan 38 wanita.
Sementara itu, penduduk Aleppo yang melarikan diri kini kembali ke rumah masing-masing ketika sekolah mula dibuka semula selepas pengumuman gencatan senjata oleh Rusia itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 13 anggota Pengawal Revolusi Iran terbunuh, manakala 21 lagi cedera dalam pertempuran di Aleppo, kehilangan jumlah korban terbesar anggota tentera negara itu dalam tempoh yang singkat di Syria.
Jurucakap tentera Iran, Hossein Ali Rezayi berkata, anggota yang terkorban itu berasal dari wilayah Mazandaran selepas mereka terlibat dalam pertempuran di Kampung Khan Tuman, 10 kilometer barat daya bandar Aleppo.
Kelmarin, kumpulan pemantau di Syria melaporkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan militan al-Qaeda dan sekutu mereka.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Turki mendakwa mereka membunuh sebanyak 55 orang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam pengeboman yang dilakukan di utara bandar Aleppo pagi semalam.
Menurut kenyataan sumber tentera hari ini, serangan itu turut memusnahkan tiga buah kenderaan dan tiga alat pelancar roket. – DPA/AFP/REUTERS