19 SEPTEMBER 2016
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pentagon menzahirkan kekesalan atas kehilangan puluhan nyawa susulan serangan udara dilancarkan pakatan antarabangsa diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap kedudukan tentera berhampiran sebuah lapangan terbang di Syria, kelmarin.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Rusia memaklumkan sekurang-kurangnya 62 tentera rejim Presiden Bashar al-Assad terkorban manakala 100 lagi cedera selepas pangkalan tentera udara Dayr al-Zawr dibedil dua pesawat pejuang F-16 dan dua jet A-10.
Pegawai tentera di Washington yang enggan identitinya didedahkan menyatakan ia mungkin berpunca daripada kegagalan risikan.
"Ia adalah insiden yang tidak disengajakan kerana tentera AS percaya ia adalah kedudukan kumpulan militan Daesh selepas mengumpulkan maklumat mengenainya selama beberapa hari," jelasnya.
Sementara itu, Pusat Perintah AS (Centcom) memberitahu serangan udara itu dihentikan serta-merta selepas mereka mendapat maklumat mengenai kedudukan tentera Syria terbabit namun sebanyak enam kenderaan telah musnah akibat bedilan tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment