80 cedera, penduduk tempatan alami kesukaran bernafas
08 September 2016 1:16 AM
PENDUDUK terpaksa memakai topeng oksigen untuk bernafas selepas terkena serangan bom yang mengandungi klorin di sebuah hospital tempatan di Aleppo, Syria, baru-baru ini. AGENSI
ALEPPO 7 Sept. - Sekurang-kurangnya 80 orang cedera selepas terkena serangan bom yang mengandungi klorin oleh tentera Syria di pinggir bandar Aleppo kelmarin.
Daily Mail melaporkan, daripada jumlah itu, 37 yang cedera adalah kanak-kanak.
Sementara itu, BBC News yang memetik kenyataan beberapa orang pekerja bantuan kecemasan sukarela pula melaporkan, ramai penduduk mengakui sukar untuk bernafas selepas serangan yang berlaku di kawasan Sukari itu.
Ketika laporan tersebut masih belum dapat disahkan kebenarannya, satu siasatan yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui dakwaan serangan bom klorin berkenaan.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, tentera Syria dipercayai telah menggunakan klorin dalam sekurang-kurangnya dua kejadian serangan sebelum ini, namun dinafikan oleh tentera Syria.
Dalam pada itu, seorang pekerja penyelamat untuk pasukan Pertahanan Awam Syria, Ibrahim Alhaj memberitahu, pihaknya menemukan empat silinder klorin di tempat kejadian selepas serangan terbabit.
Satu rakaman video termasuk yang menunjukkan beberapa orang kanak-kanak terpaksa menggunakan topeng oksigen untuk bernafas akibat serangan itu kemudian dimuat naik ke dalam laman Facebook.
Walaupun klorin merupakan bahan kimia yang biasa digunakan dalam industri kimia, namun penggunaan klorin sebagai senjata telah dilarang oleh Konvensyen Senjata-Senjata Kimia sebelum ini.
Semalam, PBB mendakwa, orang awam yang terperangkap dalam situasi perang di Syria kini berdepan serangan yang dianggap semakin kejam.
Laporan itu juga menyebut, seramai 600,000 penduduk Syria kini hidup dalam kepungan dengan separuh daripadanya masih ‘terperangkap’ di Aleppo.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-serang-guna-bom-klorin-1.379857#sthash.yFPBxl7a.dpuf
No comments:
Post a Comment