Tuesday 4 October 2016

Aleppo seperti neraka – PBB





AFP - SUKARELAWAN Syria kelihatan mengusung orang awam yang cedera selepas tentera udara Syria mengebom kawasan kejiranan di Heluk, Aleppo pada 30 September lalu.

ALEPPO, Syria – Tentera rejim Syria semakin mara ke Aleppo kelmarin selepas Rusia melancarkan berpuluh-puluh serangan udara, manakala pegawai tinggi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan bandar itu kini menjadi seakan ‘neraka’.

Peperangan yang berlangsung selama lima tahun telah memusnahkan Aleppo yang merupakan bandar kedua terbesar di Syria dan dahulunya merupakan pusat ekonomi negara. Bandar itu kini terpecah akibat pertempuran berterusan antara tentera kerajaan dan puak pemberontak.

Tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad mengumumkan serangan besar-besaran dengan bantuan sekutunya, Moscow pada 22 September lalu bagi menawan semula kawasan timur yang ditawan pihak pemberontak.

Berpuluh-puluh serangan udara di­sasarkan ke beberapa kawasan perang di bandar itu sepanjang hari kelmarin, namun berkurang menjelang petang, kata pemberita AFP.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, kumpulan pembe­rontak dan tentera rejim masih berbalas tembakan meriam di beberapa kejiranan di serata Aleppo, manakala tentera rejim yang mara ke utara bandar itu telah tiba di pinggir daerah Al-Heluk.

Jika tentera yang setia kepada Bashar merampas Al-Heluk, Bustan al-Basha dan Sakhur di utara Aleppo, mereka akan membataskan penguasaan pemberontak ke satu bahagian kecil di tenggara di bandar itu.

Kempen ketenteraan Bashar yang disokong Rusia di Aleppo mencetuskan kemarahan antarabangsa terutama selepas dua bom barel terkena hospital terbesar di timur bandar itu pada Sabtu lalu.

Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien mengkiritik serangan ke atas hospital M10 dan menggesa tindakan segera kelmarin bagi mengakhiri ‘kehidupan bagaikan neraka’ yang dialami penduduk di timur Aleppo pada masa kini.

“Sistem penjagaan kesihatan di timur Aleppo hampir kesemuanya telah musnah.

Kemudahan perubatan juga dibedil satu persatu,” kata O’Brien.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut menyifatkan Syria sebagai tempat pa­ling berbahaya di dunia kepada pekerja-pekerja kesihatan dan segala infrastruktur perubatan di Aleppo musnah atau mengalami kerosakan besar. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4M4MkOsWC
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment