Tuesday, 4 October 2016

Bapa Wahida cerita detik hitam


04 Oktober 2016 12:16 AM

Image result for Syria


WAHIDA hanya mengalami calar dan lebam di bahagian kepalanya. AGENSI

BEIRUT 3 Okt. – Bapa kepada Wahida, bayi yang diselamatkan pasu­kan penyelamat White Helmets di Idlib, Khamis lalu sehingga menarik perhatian masyarakat dunia, mendedahkan detik hitam kejadian itu yang turut mengorbankan seorang lagi anak perempuannya.
Dalam satu rakaman video, sukarelawan bernama Abu Kifah dirakam menangis ter­esak-esak selepas berjam-jam berusaha mengeluarkan bayi perempuan berkenaan dengan menggali sisa runtuhan bangunan tersebut.
“Saya berada di kedai ketika serangan udara itu berlaku,” kata bapa Wahida, Yehya Maatouq, 32, sebagaimana lapor Mail Online.
Menurutnya yang ditemui di sebalik sisa runtuhan rumahnya, dia terus berlari pulang ke rumahnya sebaik sahaja serangan itu berakhir dan tidak menemukan ahli keluarganya.
Bagaimanapun kata Yehya, dia secara tiba-tiba terdengar suara isterinya di sebalik sisa runtuhan itu dan mula menggali rumah dua tingkatnya yang musnah.
“Saya melihat sisa runtuhan rumah dan saya tergerak mengangkat seketul batu sebelum menemukan isteri saya dan mula menggali. Syu­kur dia masih hidup dan bercakap dengan saya,” katanya.
Jelasnya, pasukan White Helmets yang turut berada di lokasi kemudiannya membantu mencari Wahida yang berusia empat bulan dan seorang lagi anak perem­puannya, Sinar, 3.
“Semasa saya mula menggali di kawasan bilik tidur, saya menemukan tangan Wahida. Ketika saya mencapainya, dia terus menggenggam jari saya. Pasukan White Helmets mengangkat serpihan besar konkrit yang menghempap Wahida dan terus mengeluarkannya.
“Mereka (White Helmets) membawa Wahida ke hospital dan syukur kepada Allah, dia masih hidup,” jelas Yehya.
Sementara itu, serangan udara di kediaman Yehya mengakibatkan anak perempuannya, Sinar dan ibunya terbunuh dalam insiden berkenaan.
Wahida hanya mengalami cede­ra ringan, calar dan lebam di bahagian dahinya.
Ketika ditanya tentang masa depannya, Yehya berkata: “Terserah kepada Allah, kami tidak dapat menguruskan apa yang telah kami lalui ketika ini.”
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bapa-wahida-cerita-detik-hitam-1.390292#sthash.L4X6je5M.dpuf

No comments:

Post a Comment