ALEPPO: Kisah seorang kanak-kanak perempuan berkongsi kisah tentang pengalamannya mengharungi peperangan di Syria menerusi laman sosial Twitter, mula mendapat perhatian antarabangsa walaupun Presiden Bashar al-Assad cuba menafikannya.
Bana Alabed menceritakan pengalaman itu dari rumahnya di Aleppo ketika menyaksikan bom digugurkan berdekatan kediaman keluarganya.
Keluarga Bana antara ribuan keluarga yang terperangkap dalam peperangan antara tentera kerajaan, kumpulan penentang, militan Daesh, pengeboman Rusia dan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat.
Ibunya, Fatemah berkata, anak perempuannya itu bertuah kerana masih hidup tetapi terpaksa menyaksikan kekejaman yang berlaku semasa perang.
"Dia menyaksikan segala-galanya termasuk ketika kawannya terbunuh, rumah kami dibom dan sekolahnya dibom.
"Itu sebabnya dia mahu berkongsi kisah tentang penderitaan yang dialami di Syria," katanya.
Antara 'tweet' yang disiarkan oleh Bana termasuk perasaan bimbangnya terbunuh akibat dibom ketika sedang tidur dan jika peperangan itu tidak dihentikan, dia serta rakan-rakannya yang lain mungkin tidak akan selamat.
"Tolong berhenti membunuh. Kami memerlukan keamanan. Saya perlukan keamanan untuk menjadi seorang guru," tulis Bana menerusi Twitter.
Fatemah berkata, dia membantu anaknya menggunakan aplikasi laman sosial itu untuk menunjukkan kesan peperangan terhadap anak perempuannya yang sudah tidak ke sekolah lebih setahun.
Namun usaha itu cuba disekat oleh Bashar apabila menuduh Bana sebagai agenda pengganas yang cuba meraih sokongan.
Sebaliknya, Bana mengeluarkan satu lagi tweet dengan berkata, "Tuan Assad, saya bukan pengganas, saya mahu meneruskan kehidupan dan hentikan pengeboman."
No comments:
Post a Comment