Saturday, 8 October 2016

Pengeboman di Aleppo perlu disiasat sebagai jenayah perang

SABTU, 8 OKTOBER 2016 @ 9:44 AM

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, John Kerry. - Foto Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat, pada Jumaat mengisytiharkan pengeboman ke atas orang awam di Aleppo menyamai jenayah perang, ketika perbalahan diplomatik berhubung perang di Syria dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, menunjukkan dengan jelas kemarahannya terhadap serangan rejim disokong Russia itu, mengisytiharkan: "Ini adalah taktik yang memerlukan siasatan terperinci - jenayah perang.

" Sementara itu, Perancis bersedia mengadakan undian pada Sabtu berhubung resolusi Majlis Keselamatan yang menuntut Russia dan Syria menghentikan pengeboman di Aleppo.

 Russia menentang usul itu dengan rang resolusi sendiri, menggesa gencatan senjata dan menggesa akses bagi bantuan kemanusiaan tetapi tidak menyebut mengenai penggantungan serangan udara di bandar raya itu.

Tentera rejim melancarkan serangan udara di timur Aleppo, yang dihuni suku juta penduduk awam, dua minggu lalu selepas gencatan senjata anjuran Amerika dan Russia gagal.

Amerika, sejak itu menarik diri daripada rundingan dua hala dengan Russia bagi menyambung semula perjanjian, tetapi usaha baru menghidupkan semula usaha memulihkan keamanan tidak berjaya kerana pertempuran berterusan.

Bertemu dengan Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault, di Washington, Kerry berkata jet tempur rejim dan Russia berulang kali menyerang hospital.

"Mereka yang melakukan jenayah itu akan dan perlu dipertanggungjawabkan di atas tindakan mereka. "Ini adalah strategi yang disasarkan untuk menakutkan penduduk dan membunuh sesiapa yang dilihat menghalang matlamat ketenteraan," kata Kerry kepada wartawan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/200018

No comments:

Post a Comment