19 Oktober 2016 12:12 AM
ALEPPO 18 Okt. – Rusia mengumumkan gencatan senjata ‘kemanusiaan’ selama lapan jam di Aleppo esok, keputusan yang dialu-alukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).
Pegawai Kanan Tentera Rusia, Sergei Rudskoi berkata, Rusia membuat keputusan untuk melaksanakan ‘penangguhan seketika atas dasar kemanusiaan’ bagi memberi laluan bebas kepada orang awam, pemindahan mereka yang cedera dan sakit serta pengunduran tentera.
Gencatan senjata itu dijangka bermula pada pukul 8 pagi sehingga 4 petang waktu tempatan di kawasan Aleppo tetapi PBB dan EU memohon agar tempoh gencatan senjata yang lebih lama.
“Semasa tempoh berkenaan, tentera Syria dan Tentera Udara Rusia akan menghentikan serangan udara dan darat,” katanya di Moscow.
Walau bagaimanapun sebelum gencatan senjata itu berkuat kuasa, pesawat pejuang Rusia hari ini melancarkan serangan bertubi-tubi di timur Aleppo menyebabkan lima sekeluarga termasuk tiga anak mereka terkorban.
Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, serangan tersebut dilancarkan selepas tengah malam semalam yang menyasarkan beberapa wilayah di kawasan berkenaan dan hanya berhenti pada pukul 10 pagi ini waktu tempatan.
Dalam pada itu, wakil Rusia ke PBB, Vitaly Churkin turut mengumumkan bahawa Arab Saudi, Qatar dan Turki bersetuju untuk menyertai rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia dalam usaha mengasingkan antara kumpulan penentang pelampau dan sederhana di Aleppo, sekali gus memberi harapan bagi lanjutan tempoh gencatan senjata.
Pengumuman itu dibuat ketika Menteri-menteri Luar EU mengutuk serangan udara ganas di Aleppo sejak tiga minggu lalu.
“Tentera rejim Syria dan sekutunya, Rusia, melancarkan serangan yang sengaja menyasarkan hospital, kakitangan perubatan, sekolah, infrastruktur penting termasuk penggunaan bom tong, bom berangkai dan senjata kimia yang membawa kepada jenayah perang,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Ketua Hal Ehwal Luar EU, Federica Mogherini menyifatkan pengumuman Moscow itu sebagai ‘positif’ tetapi tidak memadai untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke bandar yang dikepung.
“Agensi bantuan menganggarkan mereka memerlukan 12 jam untuk mengagihkan bantuan. Tempoh yang diberi sekarang memerlukan mereka untuk mencari kawasan yang sesuai,” ujarnya.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric turut mengalu-alukan gencatan senjata itu tetapi menegaskan keperluan untuk penangguhan lebih lama bagi membolehkan kemasukan bantuan. – AFP
No comments:
Post a Comment