Friday, 4 September 2015

30 pendatang dikhuatiri lemas di perairan Libya - IOM

TENTERA Libya mengawasi sebilangan pendatang haram yang berjaya di selamatkan di perairan Libya. - Foto REUTERS
JUMAAT, 4 SEPTEMBER 2015 @ 6:10 PM
ROME: Sekurang-kurangnya 30 pendatang dikhuatiri lemas di perairan Libya selepas bot getah mereka karam, menurut Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM).
Seramai 91 orang yang diselamatkan pengawal pantai Itali menyatakan bot mereka membawa antara 120 dan 140 orang apabila ia mula kempis, sekali gus mencetuskan panik dan menyebabkan beberapa orang jatuh ke laut. - AFP

Kisah menyayat hati pelarian dua beradik


Kisah menyayat hati pelarian dua beradik
Kisah menyayat hati pelarian dua beradik Aylan (atas, kiri) dan Galip Kurdi.
3 SEPTEMBER 2015


BERITA penemuan mayat seorang kanak-kanak yang juga salah seorang pelarian dari Syria, Aylan Kurdi meruntun hati pembaca dan pelayar di laman sosial.

Aylan, 3, adik kepada Galip Kurdi, 5 adalah antara dua-beradik yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki.

Foto Aylan tersebut dikongsi di laman Twitter dengan kapsyen 'kemanusiaan hanyut di pantai'.

"Ya ALLAH, hati saya pecah berderai melihat foto ini," kata Ena.

"Tolonglah lindungi dan selamatkan mereka semua..subhanallah," kata Sabrina.

Sementara itu, seramai lima kanak-kanak dan seorang wanita disahkan maut dalam usaha mereka menuju ke pulau Kos, Greek, lapor Reuters.

Media Turki melaporkan Aylan dan Galip berasal dari Kobani, sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki.

Lembaga Keselamatan Kebangsaan Turki memberitahu, hampir 100 pelarian diselamatkan oleh kapal penyelamat Turki, malam kelmarin.

Budak Syria mati lemas


Budak Syria mati lemas
Polis Turki mengangkat jenazah Aylan Kurdi yang ditemui tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum.
4 SEPTEMBER 2015

ANKARA - TURKI. Pengguna media sosial semalam digemparkan dengan penyebaran gambar mayat seorang budak lelaki yang terdampar di pesisir pantai Turki.

Gambar itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan berbaju kemeja-T dan berseluar pendek tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum, seolah-olah sedang nyenyak tidur.

Kanak-kanak berkenaan adalah 12 pelarian Syria yang terbunuh selepas bot dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan ke pulau Kos di Greece.

Media Turki mengenal pasti budak lelaki itu sebagai Aylan Kurdi berusia tiga tahun.

Laporan itu menambah, ibu dan abangnya berusia lima tahun turut terkorban dalam tragedi berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Turki berkata, dua bot membawa 23 orang itu bertolak berasingan dari Akyarlar di semenanjung Bodrum.

"Mereka yang maut termasuk lima kanak-kanak dan seorang wanita. Hanya sembilan orang sahaja yang terselamat, dua yang menggunakan jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai," katanya dalam laporan BBC.

Pihak berkuasa tidak meletakkan harapan tinggi menemui dua lagi yang masih hilang.

Di sini Aylan berakhir


Ankara: Sejak tahun lalu, puluhan ribu pelarian berkubur dalam Laut Mediterranean namun ia tidak memberi kesan kepada negara Eropah sehinggalah gambar mayat Aylan yang berusia tiga tahun terdampar di tepi pantai mencetuskan simpati pemimpin Eropah yang sudah mengambil beberapa tindakan membantu pelarian.

Gambar mayat Aylan Kurdi, yang tersebar melalui media sosial serta menjadi tajuk utama berita TV dan akhbar di seluruh dunia bagaikan menceritakan betapa terdesaknya pelarian dari Timur Tengah yang negara mereka diancam peperangan mahu melarikan diri ke Eropah.

Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.

Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam tetapi ia karam kira-kira 30 minit kemudian dekat Pulau Kos di Greece.

Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Abdullah Kurdi terselamat.

Menurut bapa Aylan, berkata bot mereka amat sarat menyebabkan ia terbalik dipukul ombak.

Abdullah berkata, kapten bot itu yang panik apabila bot kecil dilanda ombak besar, terjun ke dalam laut.

“Saya mengambil alih mengemudi bot tetapi ombak amat besar dan bot terbalik. Selepas itu saya sedar dua anak dan isteri saya sudah lemas,” katanya kepada AP.

Kesedihan dan kepiluan melihat gambar Aylan tertiarap kaku di pantai mencetuskan perbahasan dalam kalangan pemimpin Eropah yang mendesak tindakan segera diambil bagi mengatasi krisis pelarian, terutama dari Syria.

Namun, selagi perang saudara di Syria masih berterusan, ribuan rakyat negara itu akan terus menggadai nyawa setiap hari cuba ke Eropah melalui Laut Mediterranean menaiki bot nelayan yang usang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 11:20 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75059#sthash.xtDkPYyJ.dpuf

Kematian dua beradik buka mata Eropah

Paris: Berikutan kematian budak lelaki berusia tiga tahun dari Syria yang gambar mayatnya terdampar di pantai Turki menyebabkan Perdana Menteri Perancis Manuel Valls mendesak negara-negara Eropah mengambil langkah segera mengatasi krisis kebanjiran ratusan ribu pelarian di benua itu.
“Dia mempunyai nama. Alyan Kurdi. Tindakan segera diperlukan oleh negara-negara Eropah,” katanya melalui Twitter hari ini.
Gambar mayat Alyan yang terdampar di pantai peranginan Aegean di Bodrum, Turki, tersebar luas melalui media sosial, malah menjadi tajuk utama siaran berita televisyen dan akhbar mencetuskan simpati serta desakan pemimpin Eropah bertindak membantu pelarian.
Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam dalam perjalanan mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.
Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam. Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian bot berkenaan karam dekat Pulau Kos di Greece.
Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Kurdi Abdullah terselamat. Mayat Alyan dihanyutkan ke Pantai Ali Hoca Point di Bodrum dan ditemui hari ini.
Itali, Perancis dan Jerman sudah menandatangani dokumen mendesak peraturan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pemberian sukan politik, dikaji semula.
Canselor Jerman, Angela Merkel, meminta negara dalam EU menerima lebih banyak pelarian.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve, berkata negara itu menjadi pendahulu menguruskan bantuan kepada pelarian dan sudah memperbaharui syarat suaka politik dan menyediakan 8,000 pusat pendaftaran untuk tujuan itu. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 7:30 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75032#sthash.eMmO9Rvd.dpuf

Libya selamat 104 pendatang


Tripoli: Pasukan pengawal pantai Libya menyelamatkan lebih 100 pendatang Afrika yang menaiki sebuah bot getah yang sarat dan hampir karam di perairan Tripoli semalam.

“Kami menyelamatkan 104 pendatang Afrika termasuk 14 wanita yang dalam pelayaran menuju ke Eropah.

“Majoriti mereka dari Sierra Leone dan Nigeria,” kata jurucakap pengawal pantai, Mohamad Dandi.

Ujarnya, operasi menyelamat bot berkenaan yang dikesan pada kedudukan tujuh batu nautika dari Garabulli dilakukan selepas tengah malam semalam.

Menurutnya, pendatang berkenaan menaiki bot yang muat untuk membawa 35 orang.

“Bot itu hampir tenggelam akibat bocor ketika kami sampai untuk menyelamat,” jelasnya.

Media tempatan melaporkan, semua pendatang itu dilihat dihantar ke stesen tentera laut di Tripoli.

Sejak bertahun-tahun, Libya yang mempunyai garisan pantai sepanjang 1,770 kilometer menjadi transit untuk pendatang Afrika ke Eropah bagi mencari kehidupan yang lebih baik.

Ramai pendatang menuju ke pulau Lampedusa yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Libya.

Sindiket penyeludupan manusia mengambil kesempatan daripada kekacauan politik di Libya yang tercetus sejak 2011 bagi meningkatkan operasi mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75130#sthash.XY300rTV.dpuf

Eropah bertanggungjawab!

Ankara: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam menyelar negara Kesatuan Eropah (EU) dan menuduh mereka menjadikan Laut Mediterranean ‘kubur’ untuk migran.
Beliau juga bertata, Eropah bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran.
“Negara Eropah yang menjadikan Laut Mediterranean kubur migran dan bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran,” katanya ketika bercakap di Ankara.
Turki memberikan perlindungan kepada kira-kira 1.8 juta pelarian Syria dan sering kali menuduh Eropah tidak melakukan secukupnya untuk berkongsi beban itu.
“Negara Eropah yang menetapkan kriteria untuk hak asasi dan kebebasan manusia tetapi kini mereka enggan melaksanakan prinsip itu.
“Kami berpendapat adalah tidak adil untuk kami sahaja memikul beban yang kini dihadapi seluruh dunia,” katanya.
Recep berkata demikian selepas imej mayat seorang kanak-kanak Syria yang terdampar di pantai negara itu tersebar di seluruh dunia.
“Mayat seorang kanak-kanak yang mati dalam bot di Laut Meditteranean dihanyutkan ke pantai kami,” katanya.
Kerajaan Turki sebelum ini berkata, pengawal pantai negara itu menyelamatkan lebih 42,000 migran di Laut Aegean sepanjang lima bulan pertama tahun ini dan lebih 2,160 pada minggu lalu saja.
Sementara itu, di Paris, Menteri Luar Perancis Manuel Valls berkata, gambar kanak-kanak Syria yang mati lemas di pantai Turki itu menunjukkan perlunya tindakan segera dilakukan oleh Eropah bagi menangani krisis migran.
“Kanak-kanak itu ada nama: Alyan Kurdi. Tindakan segera perlu diambil oleh Eropah,” kata Valls dalam akaun Twitternya, semalam.
Alyan bersama-sama abangnya, Galip, lima dan ibu Rihan, mati lemas selepas bot mereka karam ketika dalam pelayaran ke Eropah untuk melarikan diri dari perang saudara di Syria.
Bapanya dilapor terselamat.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:15 AM


SEORANG migran yang memaut anaknya ditahan di Bicske, Hungary, semalam. Lebih 160,000 pendatang dan pelarian tiba di Hungary tahun ini, menerusi sempadan Serbia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75132#sthash.YwiRO8mv.dpuf

Eropah dikecam enggan terima pelarian

Seorang polis Turki berdiri berhampiran mayat seorang kanak-kanak

Seorang polis Turki berdiri berhampiran mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria yang terdampar di pantai Bodrum, selatan Turki, kelmarin sehingga menjadi perbualan hangat di laman sosial. AFP
ISTANBUL 3 Sept. – Beberapa keping gambar yang merakamkan mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria terdampar di pinggir pantai Turki, semalam selepas bot yang dinaikinya bersama-sama pelarian lain, karam dan menggemparkan dunia.
Gambar yang memilukan itu dirakam oleh agensi berita Dogan, menunjukkan bagaimana seorang kanak-kanak sudah tidak bernyawa terbaring di pesisir pantai berhampiran Bodrum, salah satu pusat peranginan utama di negara ini, sebelum mayat tersebut diambil oleh pihak polis.
Gambar itu tersebar meluas di laman sosial, sehinggakan hastag #KiyiyaVuranInsanlik atau `Kemanusiaan terdampar di pesisir pantai’ menjadi topik perbualan utama di seluruh dunia.
Imej yang menyayat hati itu turut menjadi berita utama di dada-dada akhbar utama Britain yang mengecam krisis pelarian di Eropah ketika ini.
“Jika gambar mengejutkan tentang kematian seorang kanak-kanak Syria terdampar di pantai tidak mengubah sikap Eropah terhadap krisis pelarian, apa yang dapat mengubah pendirian mereka?,” kata pengarang akbar Independent.
Akbar berkenaan kemudian mengemukakan satu petisyen menggesa Britain menerima kehadiran pelarian di negara tersebut, dengan lebih 10,000 tandatangan berjaya dikumpulkan dalam masa satu jam.
Sebelum ini, London dikritik kerana menerima kehadiran pelarian pada kadar yang sangat rendah berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eropah-dikecam-enggan-terima-pelarian-1.131460#sthash.YQep1Sen.dpuf

13 juta kanak-kanak tiada pendidikan

gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak

Gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak Syria bermain sesama mereka di kem pelarian di sempadan Syria-Jordan berhampiran bandar Mafraq, Jordan. AGENSI
AMMAN 3 Sept. - Lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus boleh menyebabkan masa depan generasi itu lenyap, jika golongan itu tidak kembali ke alam persekolahan.
Menurut laporan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan peperangan di enam negara di rantau tersebut menyebabkan lebih 8,500 buah sekolah tidak lagi beroperasi ekoran faktor keselamatan dan keganasan.
Pengarah UNICEF untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Peter Salama yang memetik laporan itu menjelaskan bahawa situasi meruncing berkenaan berlaku ekoran risiko yang dihadapi pelajar dan guru terkena tembakan dan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk daripada serangan bom.
“Konflik di rantau Asia Barat yang berterusan menyebabkan lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan, sekali gus meletakkan masa depan generasi muda ini dalam bahaya,” jelas UNICEF.
Menurutnya, kanak-kanak sekolah juga berdepan risiko ditembak ketika melintas zon peperangan semasa mahu mengambil peperiksaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.
“Bukan sahaja kerosakan fizikal berlaku terhadap sekolah akibat perang, tetapi kekecewaan turut dirasai oleh generasi muda yang melihat harapan dan masa depan mereka musnah,” katanya.
Tahun lalu sahaja, UNICEF merekodkan sebanyak 214 serangan dilancarkan ke atas sekolah-sekolah di Syria, Iraq, Libya, Palestin, Sudan dan Yemen.
Di Syria, UNICEF melaporkan, sektor pendidikan terjejas teruk disebabkan peperangan antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang sejak lebih empat tahun lalu.
Secara puratanya, satu daripada empat buah sekolah ditutup sejak konflik tercetus pada Mac 2011, mengakibatkan lebih dua juta kanak-kanak terpaksa berhenti belajar dan hampir setengah juga lagi berdepan risiko kehilangan pendidikan.
“Satu daripada serangan paling buruk berlaku di sebuah sekolah di Yemen apabila 13 guru dan empat kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan di sebuah pejabat guru di bandar Amran.
“Pembunuhan, penculikan dan penahanan guru, pelajar dan kakitangan sekolah berlaku secara berleluasa di rantau ini,” tambah laporan terbabit.
Di Gaza, serangan tentera Israel selama 50 hari ke Gaza pada tahun lalu, menyaksikan 281 buah sekolah di wilayah Palestin itu rosak dan lapan buah lagi musnah sepenuhnya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/13-juta-kanak-kanak-tiada-pendidikan-1.131458#sthash.4e5vzzMC.dpuf

Thursday, 3 September 2015

10 maut serangan bom kereta di Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 11:53 PM


DAMSYIK: Sepuluh maut manakala berpuluh yang lain cedera selepas insiden pengeboman kereta di Latakia, Syria, kubu kuat bahagian pesisir pantai Presiden Bashar al-Assad, semalam.

Agensi berita SANA melaporkan, pengganas meletupkan kereta sarat dengan bahan letupan pada tengah hari (0900 GMT) di dataran Hamam di Latakia.

Difahamkan, letupan itu turut mencederakan 25 yang lain dan menyebabkan kerosakan teruk kereta serta bangunan berdekatan.

Televisyen kerajaan memaparkan rakaman kereta musnah dengan tingkap pecah ketika anggota bomba memadam kebakaran.

Latakia adalah kawasan minoriti puak Alawiah, keturunan Assad. Namun, puak itu jarang terbabit dengan keganasan yang memusnahkan Syria sejak kebangkitan menentang rejim tercetus pada Mac 2011.

SANA melaporkan, pegawai rasmi menemui dua kereta penuh dengan bahan letupan dan menahan mereka yang bertanggungjawab. -AFP

Wednesday, 2 September 2015

Gali runtuhan dengan tangan kosong

Damsyik: Seorang budak dan seorang lelaki terselamat daripada maut selepas berjaya di tarik keluar dari bawah runtuhan selepas serangan udara terhadap kedudukan pemberontak di Saqba, utara Ghouta, oleh pesawat kerajaan, Ahad lalu.
Kedua-dua mangsa yang tertimbus sepenuhnya di bawah ketulan batu runtuhan bangunan berjaya ditarik keluar oleh orang ramai dengan sebahagiannya menggali tanah serta batu menggunakan tangan.

Rakaman video usaha menyelamat itu kini tersebar luas di media sosial
Serangan udara itu menyebabkan 15 orang awam terbunuh termasuk enam kanak-kanak.
Tentera udara Syria menggunakan bom tong dram iaitu bahan letupan dimasukkan ke dalam tong dram dan sudah mengenai sekolah, hospital dan pasar.
Lebih 240,000 orang terbunuh sejak perang saudara Syria bermula pada Mac 2011 dan separuh penduduk negara itu kini menjadi pelarian. - Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 6:32 PM


Orang ramai berusaha menarik keluar seorang budak dan lelaki dari bawah runtuhan sebelum mereka kelemasan selepas serangan udara di Saqba, utara Ghouta, Ahad lalu. - Foto Daily Mail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74766#sthash.gA6lwjjV.dpuf

Askar Turki terbunuh, seorang lagi hilang di sempadan Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 10:56 AM

ISTANBUL: Seorang askar Turki terbunuh manakala seorang lagi hilang selepas terkenan tembakan yang dilepaskan dari kawasan yang dikuasai militan IS di sempadan negara itu dengan Syria, menurut pihak tentera. Menurut kenyataan Angkatan Tentera Turki (TSK), askar berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan ketika dirawat di hospital susulan insiden di wilayah sempadan Kilis apabila tembakan dilepaskan dari kawasan yang dikuasai IS itu. "Perhubungan terputus dengan seorang lagi askar semasa pertempuran itu," menurut kenyataan itu. Usaha mencari askar berkenaan sedang dilakukan. Pihak tentera tidak menyatakan siapa yang melepaskan tembakan tetapi Gabenor Kilis, Suleyman Tapsiz, menyatakan sekumpulan penyeludup yang cuba memasuki Turki dari Syria, melepaskan tembakan itu. - AFP


PELARIAN menunggu untuk menyeberangi sempadan di antara bekas Republik Yugoslavia Macedonia dan Greece, berhampiran bandar Gevgelija. Perjalanan Gevgelija-Presevo hanya sebahagian daripada perjalanan pelarian, sebahagian besar daripada mereka dari Syria, terpaksa melalui koridor Balkan yang membawa mereka dari Turki, melalui Greece, Macedonia dan Serbia ke Hungary, pintu masuk ke Kesatuan Eropah. - Foto REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78955

CIA, JSOC lancar misi dron buru pemimpin IS di Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 11:51 AM

 DRON Amerika Syarikat yang dilengkapi senjata. - Gambar hiasan

WASHINGTON: CIA dan pasukan tentera khas Amerika Syarikat sedang melaksanakan kempen rahsia menggunakan dron dilengkapi senjata bagi menyasarkan pemimpin IS di Syria, menurut laporan The Washington Post. Menurut akhbar berkenaan, pegawai AS menyatakan program sulit itu adalah berasingan daripada operasi tentera AS terhadap pejuang IS. Antara mereka yang terbunuh ialah Junaid Hussain, seorang penggodam dari Britain yang Pentagon dakwa merekrut mereka yang bersimpati dengan IS bagi melakukan serangan secara bersendirian di negara Barat. Menurut laporan akhbar itu, program dron berkenaan membabitkan beberapa serangan yang dilancarkan Joint Special Operations Command (JSOC). Peranan utama CIA dalam operasi itu ialah mengenal pasti dan mengesan pemimpin IS. Menurut pegawai AS berkenaan, program itu menumpukan kepada "sasaran bernilai tinggi". Keputusan menggunakan Pusat Antikeganasan CIA (CTC) dan JSOC dalam operasi itu menunjukkan peningkatan kebimbangan berhubung penularan pejuang IS. CTC sebelum ini mengetuai pemburuan Osama bin Laden manakala JSOC membabitkan pasukan elit Navy SEAL yang melaksanakan misi membunuh pemimpin Al-Qaeda itu pada 2011. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78963

Tinggalan sejarah berharga Syria musnah

Tinggalan sejarah berharga Syria musnah
Gambar satelit menunjukkan struktur utama kuil Bel di Palmyra musnah sepenuhnya selepas diletupkan, Ahad lalu.
DAMSYIK - SYRIA. Imej satelit dikeluarkan, kelmarin menunjukkan struktur utama kuil Bel di bandar purba Palmyra yang berusia hampir 2,000 tahun telah musnah sepenuhnya selepas ia diletupkan kumpulan militan IS, Ahad lalu.
Pengurus Jabatan Penganalisis Satelit Unosat, Einar Bjorgo mengesahkan kemusnahan melibatkan keseluruhan bahagian penting tinggalan bersejarah paling berharga di Syria itu.
"Imej tersebut amat penting bagi membolehkan Unesco memperoleh maklumat objektif mengenai situasi terkini di Palmyra yang turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh agensi di bawah PBB itu," katanya.
Minggu lalu, IS bertindak memusnahkan kuil Baalshamin dan tindakan yang dianggap sebagai jenayah perang itu turut dikutuk sekeras-kerasnya oleh Unesco.
Dalam perkembangan lain, kumpulan militan IS didakwa menjadikan saudara mara kepada jemaah yang menunaikan haji pada tahun ini sebagai tebusan mereka.
Saksi mendakwa tindakan itu dibuat untuk memastikan jemaah terbabit tidak melarikan diri dari bandar Mosul yang kini dikuasai sepenuhnya oleh IS selepas musim haji berakhir. - al-Arabiya

Friday, 28 August 2015

Bot Bawa Pelarian Karam Di Libya


Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 8:53 AM

TRIPOLI: Sebuah bot yang dipenuhi pelarian, karam di pesisir bandar Zuwara di Libya.

Dipercayai insiden berkenaan menyaksikan ratusan orang terkorban.

Seorang pegawai keselamatan di Zuwara berkata, beratus-ratus orang berada atas bot dan ada yang terperangkap ketika ia karam.

"Kira-kira 100 pendatang haram mungkin terselamat," katanya sambil menambah operasi menyelamat sedang dijalankan.

Seorang pegawai lain dan seorang wartawan dari Zuwara mengesahkan berita itu tetapi tidak mempunyai maklumat jumlah korban.

Pegawai keselamatan itu berkata, semua pendatang dalam bot itu adalah dari negara Sahara Afrika, Pakistan, Syria, Magribi dan Bangladesh.

Gencatan senjata 48 jam


28 OGOS 2015Gencatan senjata 48 jam
Gencatan senjata 48 jam Gencatan senjata itu dikuatkuasakan selepas pertempuran semakin meningkat di Zabadani.

BEIRUT - LUBNAN . Gencatan senjata baharu selama 48 jam antara tentera prokerajaan Syria dan kumpulan pemberontak telah dipersetujui, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia (SOHR), semalam.

Jurucakapnya memaklumkan pertempuran telah dihentikan selepas ia akan berkuatkuasa di Zabadani dan dua perkampungan Fuaa dan Kafraya.

Terdahulu, Setiausaha Agung parti Tadamun, Mohammed Abu Qassem dan pengantara rundingan tersebut mengesahkan gencatan senjata tersebut bermula pada jam 6 pagi (waktu tempatan).

Difahamkan, gencatan senjata pertama selama dua hari telah dikuatkuasakan pada 12 Ogos lalu, namun tempoh tersebut dilanjutkan selepas perunding gagal untuk mencapai persetujuan baharu.

Sebelum ini, rundingan itu turut berbincang mengenai penarikan semula kumpulan pemberontak dari Zabadani sebagai pertukaran untuk memindahkan orang awam dari Fuaa dan Kafraya atau menghantar bantuan kepada penduduk.

Selain itu, kumpulan pemberontak juga menuntut pembebasan tahanan dan perkara itu masih dalam perbincangan.

Fuaa dan Kafraya adalah satu-satunya perkampungan di wilayah Idlib, barat laut Syria yang masih dikuasai kerajaan selepas perikatan pemberontak semakin mara pada awal tahun lalu. - AFP

Gencatan senjata di Syria, Ukraine


Seorang askar Ukraine melancarkan serangan menggunakan pelancar
Seorang askar Ukraine melancarkan serangan menggunakan pelancar bom tangan di Avdiivka, Donetsk, baru-baru ini. AFP
BEIRUT 27 Ogos – Pihak bertelagah di Syria memulakan gencatan senjata selama dua hari berkuatkuasa hari ini di tiga lokasi utama bagi memberi laluan perbincangan menamatkan peperangan di kawasan terlibat.
Gencatan senjata yang kedua dilaksanakan pada bulan ini melibatkan tentera Syria dibantu kumpulan bersenjata Hezbollah dari Lebanon dan kumpulan penentang kerajaan Syria di pekan Zabadani bersempadan dengan Lebanon dan dua kampung iaitu Kefraya dan al-Foua di wilayah Idlib.
Selain itu, gencatan senjata ter­ba­bit dipersetujui bagi memberi ruang kepada kumpulan penentang berundur dari Zabadani dan pemindahan penduduk di dua kampung berkenaan.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia, menunjukkan tanda-tanda positif untuk melaksanakan gencatan senjata secara penuh bermula 1 September ini, sekali gus menamatkan keganasan antara kedua-dua pihak di timur Ukraine yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu.
Perjanjian gencatan tersebut di­tandatangani pada Februari lalu se­bagai membuka laluan kepada penyelesaian secara politik termasuk usul mengadakan pilihan raya tempatan dan penubuhan sebuah pengurusan khas bagi wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh wakil Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE) dengan melibatkan wakil puak pemberontak, kerajaan Ukraine dan Rusia.
Pegawai OSCE, Martin Saidik berkata, ketiga-tiga pihak terbabit bersetuju terhadap kepentingan men­capai perjanjian gencatan senjata yang kukuh menjelang sesi persekolahan baharu.
Selain itu, ketua pemberontak, Vladislav Deinego menyuarakan harapan agar serangan meriam akan dihentikan bermula 1 September.
“Semua pihak menunjukkan petanda positif terhadap pelaksanaan penuh gencatan senjata yang dipersetujui ini,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-di-syria-ukraine-1.129308#sthash.GNlaUFsT.dpuf

Thursday, 27 August 2015

Gencatan senjata 48 jam pihak bertelagah di Syria

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 10:03 AM

KUMPULAN pemberontak Syria, tentera dan kumpulan Hezbollah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama 48 jam di bandar Zabadani yang ditawan pemberontak di sempadan Lubnan dan dua perkampungan Syiah di Wilayah Idlib. - Foto AFP

BEIRUT: Kumpulan pemberontak Syria, tentera dan kumpulan Hezbollah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama 48 jam di bandar Zabadani yang ditawan pemberontak di sempadan Lubnan dan dua perkampungan Syiah di Wilayah Idlib. Sumber yang rapat dengan pelan rundingan itu berkata, gencatan bermula jam 6 pagi waktu tempatan hari ini. Gencatan senjata sama dikuatkuasakan awal bulan ini di kawasan sama namun ia dicabuli selepas tempoh gencatan dilanjutkan 72 jam lagi, disusuli dengan pertempuran semula pihak yang bertelagah. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77611

Wednesday, 26 August 2015

AS sedia terima pelarian Syria


26 OGOS 2015AS sedia terima pelarian Syria
AS sedia terima pelarian Syria Jumlah pelarian Syria melebihi empat juta pada bulan lalu dan dijangka mencecah 4.27 juta menjelang akhir tahun ini.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menjangka untuk menerima antara 5,000 dan 8,000 pelarian Syria menjelang tahun depan.

Kelmarin, jurucakap Jabatan Negara, John Kirby berkata, kira-kira 15,000 pelarian Syria juga akan diletakkan di bawah program penempatan semula di negara tersebut.

"Kami sangat komited untuk membantu merealisasikan peralihan politik di Damsyik bagi membolehkan penduduk kembali semula ke negara itu selepas keadaan benar-benar selamat," katanya.

Keputusan itu dibuat selepas AS menerima kritikan banyak pihak kerana tidak memberi respons terhadap pelarian Syria yang terpaksa mencari perlindungan di negara luar.

Difahamkan, Washington telah memberi bantuan kemanusiaan berjumlah AS$4 bilion (RM17 bilion) kepada penduduk Syria yang terjejas akibat konflik tercetus sejak 2011.  - al-Arabiya

Tuesday, 25 August 2015

Zalim: Rejim Assad sasar serang hospital


25 OGOS 2015Zalim: Rejim Assad sasar serang hospital
Zalim: Rejim Assad sasar serang hospital Seorang ayah memandang sayu jenazah anaknya selepas terlibat dalam serangan udara Assad di Douma, Damsyik pada 24 Ogos. - Foto Facebook Ikram for Syria

DAMASCUS - SYRIA. Tentera kerajaan pimpinan presiden, Bashar al-Assad menyasarkan hospital dalam usaha melemahkan kegiatan pemberontak.

Menurut laporan Business Insider, para doktor dan badan bukan kerajaan (NGO), Assad berbuat demikian sebagai mesej bahawa cuma kerajaan yang menolong rakyat, dan bukannya pemberontak.

"Kerajaan tidak mahukan sesiapa pun hidup di kawasan-kawasan yang ditakluki pihak pemberontak," kata Pengarah Syrian Network for Human Rights, Fadel Abdul Ghani.

"Tujuan Assad adalah ujntuk menambah lagi seksa penduduk," katanya kepada BuzzFeed.

Doktor melaporkan bahawa pihak tentera menyasarkan hospital secara strategik dalam serangan udara pada 7 Ogos hingga 10 Ogos.

Tindakan tersebut jelas menyalahi undang-undang Konvensyen Geneva.

AS akan terima 5,000 hingga 8,000 pelarian Syria pada 2016

SELASA, 25 OGOS 2015 @ 8:50 AM

MIGRAN berjalan berhampiran di sebuah kampung Miratovac, di selatan Serbia dan bergerak dengan berjalan kaki dari Macedonia menuju ke Presevo, Serbia. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka menerima antara 5,000 hingga 8,000 pelarian Syria tahun depan. Jurucakap Jabatan Negara, John Kirby, berkata 15,000 pelarian Syria sudah dirujuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penempatan semula di AS. Disember lalu, Washington berkata ia sudah menerima lebih 9,000 nama untuk ditempatkan semula di AS. Sebelum ini, AS dilaporkan berkata akan menerima antara 1,000 - 2,000 pelarian Syria pada tahun ini, dan jumlah itu akan terus bertambah mulai 2016. AS dikritik hebat kerana tidak mengambil lebih ramai daripada dianggarkan kira-kira empat juta pelarian akibat perang saudara di Syria sejak 2011. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77128

Monday, 24 August 2015

Angka kematian meningkat


Beirut: Angka kematian akibat pengeboman terbaru tentera Syria ke atas kubu penentang di luar Damsyik meningkat kepada 34, semuanya orang awam, termasuk 12 kanak-kanak.

Perkembangan itu didedahkan pengerusi Pemerhati Hak Asasi Syria Rami Abdel Rahman.

Menurutnya, lapan wanita juga mati dalam serangan yang dilancarkan tentera Syria di Douma, bandar yang dikuasai penentang, Sabtu lalu.

“Jumlah kematian meningkat selepas lebih banyak mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan,” kata Rami.

Sukarelawan dan pasukan pertahanan awam tempatan semalam masih berusaha mencari tujuh lagi penduduk yang dipercayai turut terbunuh.

Jawatankuasa Penyelaras Douma, kumpulan aktivis tempatan, menyiarkan nama dan gambar mangsa yang terbunuh dalam laman Facebooknya.

Satu daripada gambar itu menunjukkan seorang bayi, yang menurut kumpulan itu diselamatkan dari runtuhan kediaman keluarganya, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Dalam serangan terbaru semalam, enam serangan udara dilancarkan tentera Syria terhadap kawasan sekitar Ghouta Timur, yang juga termasuk Douma.

Bagaimanapun, belum ada maklumat mengenai kemalangan jiwa.

Pada 16 Ogos lalu, beberapa serangan udara rejim Syria menyebabkan 117 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Douma.

Ia mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Ghouta Timur dikepung sejak dua tahun lalu dan sering menjadi sasaran serangan udara tentera rejim Syria.

Perang Syria yang bermula Mac 2011 berikutan tunjuk perasaan antikerajaan, merebak menjadi konflik bersenjata yang sehingga ini sudah meragut lebih 240,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:14 AM

beberapa penduduk berusaha mengangkat mayat seorang mangsa dari runtuhan bangunan selepas serangan udara rejim Syria di Douma, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72526#sthash.XRGpVz1V.dpuf

Itali selamatkan 3,000 pendatang di Mediterranean


Itali selamatkan 3,000 pendatang di Mediterranean

24 OGOS 2015
Operasi menyelamat kumpulan pelarian di Mediterranean giat dijalankan sejak minggu lalu.

ROM - ITALI. Pengawal pantai Itali, kelmarin berjaya menyelamatkan kira-kira 3,000 pelarian di Mediterranean selepas menerima panggilan kecemasan daripada lebih 20 kapal yang hanyut di perairan Libya.

Jurucakapnya memberitahu ia adalah operasi menyelamat terbesar yang dilancarkan dalam tempoh 24 jam tanpa menerima sebarang laporan kematian.

"Dua kapal tentera laut, Cigala Fulgosi dan Vega terlibat dalam operasi tersebut. Kira-kira 900 pelarian turut diselamatkan dari dua bot kayu yang hampir karam tidak jauh dari Libya," katanya.

Sementara itu, polis di Palermo, Sicily mengesahkan mereka telah menahan enam warga Mesir dipercayai anggota sindiket pemerdagangan manusia susulan operasi menyelamat pada 19 Ogos lalu.

Maklumat diperoleh daripada kira-kira 432 pelarian mendapati kapal tersebut membawa muatan berlebihan sebanyak 10 kali ganda daripada had dibenarkan dan golongan wanita serta kanak-kanak turut dikunci di bawah dek.

Selain itu, mereka juga terpaksa membayar 2,000 euro (RM9,520) kepada sindiket untuk perjalanan dari Mesir ke Itali. - AFP

Tuesday, 18 August 2015

96 lagi maut

Beirut: Beberapa serangan tentera udara Syria di bandar Douma yang dikuasai kumpulan penentang kelmarin menyebabkan 96 orang terbunuh.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, tentera yang setia kepada kerajaan Presiden Bashar al-Assad melancarkan sekurangnya 10 serangan udara di Douma yang kebanyakannya mengenai sebuah kawasan beli-belah popular.
“Jumlah kematian yang direkodkan meningkat kepada 96 orang termasuk sekurangnya dua wanita dan empat kanak-kanak,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan awal pagi semalam.
Menurutnya, 240 orang lagi cedera dan ramai yang parah.
Douma dikepung tentera Syria sejak hampir dua tahun lalu selepas ia jatuh ke tangan kumpulan penentang dan sering menjadi sasaran serangan udara.
Bagaimanapun, serangan kelmarin dianggap yang terburuk sepanjang empat tahun perang saudara di negara itu.
Seorang jurugambar AFP di Douma menggambarkan serangan itu adalah yang terburuk sejak dia membuat liputan di situ.
Di sebuah klinik sementara, satu bahagian dipenuhi mayat mangsa yang terbunuh dan sukarelawan bertungkus-lumus merawat ramai penduduk yang cedera.
Ketua sebuah kumpulan penentang, Pakatan Kebangsaan, Khaled Khoja mengutuk serangan itu yang dianggapnya pembunuhan beramai-ramai dan berikrar untuk menghukum kerajaan Syria.
Serangan itu berlaku ketika ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephen O’Brien yang baru dilantik pada Mei lalu sedang dalam rangka lawatan ke Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:11 AM


PASUKAN penyelamat mengusung seorang lelaki yang cedera dalam serangan tentera Syria di Douma, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71183#sthash.qN8fVqtM.dpuf

AS, sekutu lancar 22 serangan udara di Iraq, Syria


Orang ramai membantu mangsa yang cedera dalam pertempuran dengan polis Turki selepas tentera gelombang baharu menentang IS.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT.  Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan 22 serangan udara terhadap kumpulan militan IS di Iraq dan Syria dalam tempoh 24 jam lalu, menurut tentera AS, semalam.

Di Syria, tiga serangan berhampiran Hasaka di timur laut negara menyasarkan unit taktikal dan memusnahkan kedudukan kumpulan berkenaan, kubu serta jentolak milik mereka.

Gabungan Bersama Pasukan Petugas memberitahu, satu serangan berhampiran Aleppo terkena unit taktikal IS, manakala serangan berhampiran Kobani dekat sempadan Turki memusnahkan unit taktikal dan tiga kedudukan kumpulan.

15 serangan lagi dilancarkan di Iraq berhampiran Baiji, Fallujah, Mosul, Ramadi, Sinjar, dan beberapa kawasan lain dengan kerjasama kerajaan.

Serangan memusnahkan bangunan IS, bersama peralatan termasuk kenderaan, tiub mortar, mesingan dan jengkaut. - Reuters

Lebih 100 korban serangan jet Syria

Damsyik: Jumlah kematian akibat serangan udara tentera Syria terhadap sebuah pasar di Douma, utara Damsyik, kini lebih 100 orang menjadikannya serangan paling dahsyat sepanjang perang empat tahun.
Menurut sumber tentera Syria, tentera udara melancarkan serangan itu sejak Ahad lalu, terhadap bandar Douma yang dikuasai pemberontak, Islam Army, selepas serangan terhadap Damsyik baru-baru ini.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, 96 orang terbunuh dalam serangan terhadap pasar itu yang terletak 16 kilometer dari pusat bandar raya Damsyik manakala menurut pasukan penyelamat, sembilan mayat masih belum dikenal pasti.
Dianggarkan lebih suku juta penduduk Syria terbunuh dalam perang saudara Syria itu yang mendorong 10 juta orang menjadi pelarian.
Pertempuran sekitar Damsyik meningkat sejak beberapa hari lalu dan slam Army, antara kumpulan pemberontak paling kuat di timur Damsyik, melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera kerajaan di Harasta, Sabtu lalu.
Tentera Syria menafikan serangan mensasar orang awam dengan alasan pemberontak berkubu di kawasan penempatan penduduk.
Douma berada dalam wilayah Ghouta Timur yang sudah lama menjadi medan berdarah pertempuran, termasuk pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata kimia pada 2013.
Amnesty International melaporkan 160,000 orang awam yang terperangkap, kini menunggu mati dan antara Januari hingga Jun lalu, 500 orang mati akibat serangan udara kerajaan. Orang awam juga mati akibat kebuluran dan kekurangan perubatan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 9:04 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71058#sthash.GN4Azmqr.dpuf

Monday, 17 August 2015

80 maut serangan udara di Syria


Berpuluh-puluh mayat penduduk yang terkorban dalam serangan udara
Berpuluh-puluh mayat penduduk yang terkorban dalam serangan udara tentera Syiria dikumpulkan di kawasan pasar di bandar Douma, timur Damsyik, semalam. AFP
BEIRUT 16 Ogos - Sekurang-kurangnya 80 orang terkorban dalam beberapa siri serangan udara yang dilancarkan tentera kerajaan Syria di sebuah pasar di Douma, berhampiran Damsyik, semalam.
Menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, hampir 200 orang lagi cedera, kebanyakan mereka orang awam.
“Sebanyak empat serangan udara dilancarkan di sebuah pasar di tengah Douma,” ujar Pengarah Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman.
Beliau berkata, penduduk tempatan berkumpul di sebuah kawasan selepas serangan udara pertama dilancarkan bagi membantu memindahkan mangsa yang cedera parah.
Satu video yang dimuat naik oleh seorang aktivis di internet, menunjukkan satu persimpangan jalan dipenuhi dengan runtuhan bangunan akibat serangan udara itu.
Douma merupakan kawasan kubu kuat penentang kerajaan di Timur Ghouta, kawasan yang sering dijadikan sasaran serangan udara oleh tentera kerajaan.
Awal minggu ini, Amnesty International menuduh kerajaan Syria melakukan jenayah perang di timur Ghouta. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/80-maut-serangan-udara-di-syria-1.125118#sthash.LGNlH7e6.dpuf

Sunday, 9 August 2015

Laut Mediterranean kubur pelarian

Palermo, Itali: Datuk Bandar Palermo di Itali, Leoluca Orlando, menempelak pemimpin Eropah kerana gagal menghalang ‘pembunuhan beramai-ramai’ dalam bencana yang mengorbankan ribuan pelarian mencari perlindungan di negara benua itu.
“Kita sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang disebabkan sikap mementingkan diri Eropah,” katanya sehari selepas lebih 200 pelarian dikhuatiri lemas selepas bot nelayan usang yang membawa 700 pelarian, sebahagian besarnya dari Syria, terbalik kira-kira 70 kilometer di luar pantai Libya.
Sehari sebelum itu, ratusan pelarian diselamatkan dari sebuah bot yang amat sesak di Laut Mediterranean.
Bot berkenaan terbalik ketika pelarian berasak-asak ke sisi selepas melihat kapal tentera laut Ireland menghampiri mereka menyebabkan bot berkenaan senget lalu terbalik.
Kapal tentera laut Ireland itu yang menyelamatkan 370 pelarian ialah antara pasukan misi Triton Kesatuan Eropan yang diperluaskan selepas kejadian kira-kira 800 pelarian lemas awal tahun ini. Pengawal pantai Itali mengesahkan 25 mayat ditemui termasuk tiga kanak-kanak.
Hari ini, polis Itali menahan lima lelaki disyaki memandu bot yang karam itu serta berkemungkinan mempunyai kaitan dengan penyeludupan migran.
Kapal tentera laut Itali dan Ireland serta agensi kemanusiaan Medecins Sans Frontieres (MSF) tidak lagi menemui mangsa yang selama selepas semalaman mencari.
Hari ini, seorang pelarian lelaki terjun dari sebuah bot berenang ke kapal penyelamat. Bot berkenaan didapati membawa ratusan pelarian termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi dan mereka diselamatkan kira-kira 16 kilometer dari pantai Libya oleh kapal agensi bantuan Stesen Bantuan Pendatang Luar Pesisir (MOAS) dan MSF.
Pelarian itu yang disyaki menjadi mangsa penyeludupan manusia dari zon perang di Afrika dan Asia Barat.
Orlando yang bercakap melalu televisyen Itali, mendesak pemimpin Eropah melakukan lebih lagi bagi mengelak bencana seperti itu, termasuk membenarkan lebih ramai pelarian berlindung di negara mereka atas dasar kemanusiaan.
Semalam, PBB menyatakan sehingga Julai lalu, lebih 224,000 pelarian menyeberangi Laut Mediterranean untuk ke Eropah tahun ini.
“Apa yang ada di depan pintu Eropah ialah krisis pelarian,” kata jurucakap agensi pelarian PBB, William Spindler.
Menurutnya, mereka datang dengan bot usang dan 124,000 orang mendarat di Greece manakala 98,000 lagi di Itali.
Namun, Spindler berkata, lebih 2,100 orang lemas di laut itu atau hilang. - Reuters/Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 6:15 PM

Seorang pelarian kanak-kanak menangis selepas dibawa naik ke atas kapal Stesen Bantuan Pendatang Luar Pesisir (MOAS) hari ini.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68890#sthash.pmJTQmIN.dpuf