WASHINGTON 25 Mac - Negara-negara Arab dan Turki yang dibantu oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah meningkatkan bantuan ketenteraan kepada pemberontak Syria secara mendadak sejak kebelakangan ini, lapor New York Times, hari ini.
Menurut akhbar itu, pendedahan tersebut dibuat berdasarkan data penerbangan dan temu bual dengan pegawai-pegawai dan komander pemberontak yang tidak dinamakan.
Laporan itu menyatakan, bantuan ketenteraan tersebut termasuklah menerusi lebih 160 penerbangan oleh Jordan, Arab Saudi dan Qatar yang mendarat di Lapangan Terbang Esenboga berhampiran Ankara dan lapangan-lapangan terbang di Turki serta Jordan.
New York Times menjelaskan, pegawai risikan Amerika Syarikat (AS) telah membantu kerajaan Arab membeli senjata termasuk dalam skala besar dari Croatia.
Mereka turut menyemak kumpulan-kumpulan dan komander pemberontak bagi menentukan siapa yang perlu menerima senjata itu sejurus tiba.
Tambah laporan itu, Turki telah menyelia kebanyakan program tersebut, antaranya menetapkan peralatan yang menerima isyarat radio untuk trak yang membawa kelengkapan tentera menerusi Turki sekali gus memantau penghantarannya.
Pakar Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Hugh Griffiths memberitahu New York Times, penerbangan-penerbangan tersebut kemungkinan membawa anggaran 3,500 tan muatan senjata.
"Kekerapan penerbangan itu menandakan operasi logistik ketenteraan sulit yang selaras dan terancang,'' katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130326/lu_07/CIA-bantu-bekal-senjata-kepada-pemberontak-Syria#ixzz2OkqLWZfe
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment