Sunday, 31 March 2013

Rusuhan di kem pelarian Syria



AKCAKALE, Turki 28 Mac - Rusuhan tercetus di sebuah kem pelarian Syria, di sini semalam selepas penghuni di kem itu mengadakan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan insiden kebakaran di kem yang dibanjiri ribuan rakyat dari negara itu.
Keadaan itu mengakibatkan polis tentera Turki terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah pelarian Syria yang bertindak melontar batu ke arah pasukan keselamatan.
Berpuluh-puluh pelarian turut memecahkan tingkap jentera bomba di kem pelarian Suleiman Shah berhampiran bandar Akcakale di Turki yang bersempadan dengan Syria.
Penghuni kem mendakwa seorang remaja memulakan demonstrasi itu selepas berlaku litar pintas yang mengakibatkan sebuah khemah terbakar dan mencederakan tiga beradik berusia tujuh, 18 dan 19 tahun.
Seorang pegawai Turki berkata, 'kekecohan' tercetus selepas kebakaran itu, namun situasi kini kembali terkawal.
Sementara itu, seorang pegawai Turki mendakwa kebakaran berkenaan bukan punca utama rusuhan tersebut di kem yang dihuni 35,000 pelarian Syria itu dan antara yang terbesar di negara ini.
Menurutnya, insiden itu bermula selepas penghuni kem berang dengan tindakan pengawal yang menghalang kira-kira 200 rakyat Syria yang cuba memasuki kem yang telah penuh itu.
Sementara itu, di DOHA, Qatar, pemimpin kumpulan pembangkang, Ahmad Mouaz Al-Khatib Al-Hasani dilantik sebagai Duta baharu Syria ke Qatar, semalam menggantikan Duta Syria, Youssef Ahmad.
Mouaz merupakan bekas Presiden Perikatan Kebangsaan Syria selepas meletak jawatan dalam pakatan pembangkang itu, baru-baru ini dan perlantikannya diiktiraf kerajaan Qatar.
Mouaz turut mewakili pembangkang ke sidang kemuncak Liga Arab di Doha, selepas Youssef Ahmad tidak dibenarkan menghadiri sidang kemuncak itu mewakili Syria, selepas kerajaan Syria digantung keanggotaannya sejak November 2011.
Kehadiran Mouaz sebagai satu-satunya wakil Syria diiktiraf Liga Arab. Ia merupakan pembukaan kedutaan pertama kumpulan pembangkang Syria di rantau Arab.
Ia turut dilihat sebagai tamparan hebat kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130329/lu_07/Rusuhan-di-kem-pelarian-Syria#ixzz2P8KGHWzV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment