Damsyik: Presiden Perancis Francois Hollande semalam mengukuhkan harapan AS untuk membentuk gabungan antarabangsa sebagai kemungkinan menyerang Syria selepas ahli Parlimen Britain menolak sebarang pembabitan negara itu.
Dalam temu bual dengan akhbar Le Monde, Hollande berkata, Perancis mahukan tindakan tegas dan wajar terhadap rejim Damsyik.
“Serangan tentera ke atas Syria boleh berlaku menjelang Rabu dan kejutan yang terjadi di Britain tidak akan menjejaskan pendirian Paris,” katanya.
Kelmarin Rumah Putih membayangkan Presiden Barack Obama - dipandu oleh “kepentingan terbaik” AS - bersedia bertindak bersendirian selepas Damsyik didakwa menggunakan senjata kimia ke atas orang awam minggu lalu. Berdepan dengan kebuntuan di Majlis Keselamatan PBB dan penolakan Parlimen Britain, AS terpaksa mencari sekutu lain untuk melaksanakan misi berkenaan.
Parlimen Perancis dijangka mengadakan persidangan tergempar pada Rabu depan untuk membincangkan isu Syria.
Ketika Jerman dan Kanada menolak kemungkinan menyertai serangan ketenteraan, Hollande berkata, perkembangan di London tidak mengubah pendirian Paris. “Setiap negara bebas untuk memilih sama ada mengambil bahagian dalam operasi itu atau tidak,” katanya. Penolakan Parlimen Britain berlaku selepas usaha saat-saat akhir diplomat negara itu untuk mendapatkan sokongan PBB meluluskan tindakan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad dalam satu sidang di Majlis Keselamatan.
Perdana Menteri Britain David Cameron berkata, keputusan Parlimen negara itu membayangkan keinginan rakyatnya tidak mahu membabitkan tentera mereka dalam tindakan di Syria.
“Saya mendapat mesej itu dan kerajaan akan bertindak sewajarnya,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment