Sunday 12 January 2014

Hampir 500 maut dalam tempoh seminggu di Syria


Beberapa penentang kerajaan Syria, memerhatikan mayat rakan mereka yang dibunuh anggota Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) di sebuah hospital di Aleppo pada 8 Januari lalu. - REUTERS
BEIRUT 10 Jan. - Hampir 500 orang dilaporkan terbunuh dalam tempoh seminggu di Syria apabila kumpulan penentang kerajaan bertempur dengan militan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria, Rami Abdel Rahman berkata, pihaknya merekodkan 482 kematian dengan 82 daripadanya merupakan orang awam, 240 lagi kumpulan penentang kerajaan dan 157 yang lain anggota ISIL.
Jumlah kematian terbabit bagaimanapun tidak termasuk kejadian hari ini, apabila tentera Syria dilaporkan membunuh berpuluh-puluh penentang kerajaan yang cuba menamatkan penguasaan tentera di beberapa daerah di Homs, Syria.
Menurut agensi berita tempatan, SANA, pasukan tentera membunuh kira-kira 37 orang penentang kerajaan, manakala Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, sekurang-kurangnya 45 penentang terbunuh.
Perang saudara Syria yang berlaku sejak Mac 2011 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 100,000 orang terbunuh, dan kawasan bandar lama di Homs telah dikuasai oleh tentera lebih setahun.
Dalam pada itu, Rami berkata, kemungkinan bilangan mangsa yang terbunuh adalah lebih tinggi.
"Mereka dibunuh ketika cuba melancarkan operasi bagi menggagalkan penaklukan tentera di Homs, namun kumpulan itu diserang hendap oleh tentera kerajaan berhampiran Khaldiyeh yang dikuasai kerajaan," katanya kepada AFP. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140111/lu_06/Hampir-500-maut-dalam-tempoh-seminggu-di-Syria#ixzz2q7zaMhDA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment