DAMSYIK 17 Mac – Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata, beliau menunggu tindakan yang bakal diambil oleh Washington selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mengaku bahawa rundingan dengan Damsyik sangat perlu bagi menamatkan konflik di negara ini.
Bagaimanapun, kenyataan oleh diplomat tertinggi AS itu segera diulas oleh jurucakapnya yang menegaskan bahawa dasar AS tidak berubah dan Bashar tidak memainkan peranan dalam menentukan masa depan Syria.
Bagaimanapun di Damsyik, kenyataan Kerry itu diputar-belit oleh media sebagai satu dasar terbalik, dan Bashar berkata, beliau masih menunggu sama ada kenyataan Amerika itu akan disusuli dengan tindakan.
“Kami masih mengikuti komen-komen yang dikeluarkan dan kami perlu menunggu tindakan daripada AS sebelum membuat keputusan,’’ kata pemimpin Syria itu kepada televisyen Iran yang disiarkan oleh media negara berkenaan.
Bashar sering menuduh Washington ‘menyokong keganasan’ kerana tindakan mereka menyokong pembangkang kerajaan, dan beliau semalam menegaskan bahawa sebarang perubahan pada dasar itu diperlukan bagi menamatkan konflik tersebut.
“Kami tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan negara kami.
“Sebarang perubahan antarabangsa yang berlaku mengikut rangka kerja itu adalah satu perkara yang positif, jika mereka jujur dan membantu menamatkan konflik,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment