Monday, 6 July 2015

Klip video IS bunuh puluhan tentera Syria tersebar


IMEJ rakaman video menunjukkan anggota militan Islamic State membunuh 25 tentera kerajaan Syria selepas kumpulan itu menawan kota Palmyra pada 21 Mei lalu. - AFP


DAMSYIK – Kumpulan militan Islamic State (IS) kelmarin menyebarkan sebuah klip video memaparkan berpuluh-puluh tentera kerajaan Syria dihukum mati oleh sekumpulan remaja di panggung terbuka purba di kota Palmyra.
Klip Video tersebut merakamkan pembunuhan yang dilaporkan berlaku tidak lama selepas IS menawan Palmyra pada 21 Mei lalu. Rakaman itu memaparkan 25 anggota tentera Syria ditembak mati di hadapan bendera IS.
Pelaksana hukuman mati itu rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang memakai bandana berwarna coklat.
Hukuman mati itu dilaksanakan di hadapan sejumlah kecil penonton lelaki serta beberapa kanak-kanak yang berada di tempat duduk panggung berkenaan.
IS dilaporkan melaksanakan lebih 200 hukuman mati termasuk ke atas penduduk awam di dalam dan sekitar Palmyra sejak menawan kota purba tersebut.
Hukuman mati di panggung terbuka Palmyra pertama kali dilaporkan Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain pada 27 Mei lalu, hampir seminggu selepas IS menawan kota tersebut.
Ketika itu, Pengarah Antikuiti Syria, Mamoun Abdelkarim menyatakan beliau bimbang pembunuhan tersebut menandakan bermulanya kekejaman IS di Palmyra.
Setakat ini, belum ada laporan IS merosakkan tinggalan purba di Palmyra tetapi kumpulan itu telah meletupkan dan merosakkan beberapa kubur orang Islam dan memusnahkan patung purba di hadapan sebuah muzium di kota itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3f4BrA2UR 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment