Wednesday, 11 November 2015

Dimensi baharu konflik Syria


MARLISSA MOHAMMAD KAMAL
Dimensi baharu konflik Syria

10 NOVEMBER 2015
Dimensi baharu konflik Syria

PADA 30 September lalu, Rusia telah menambah satu lagi dimensi baharu dengan melancarkan campur tangan ketenteraan yang dilihat akan memburukkan lagi perang saudara yang sudah berlarutan di Syria sejak empat tahun lalu.

Tindakan itu turut menerima kecaman negara antarabangsa terutamanya Arab Saudi, Qatar dan Turki kerana ia didakwa akan meragut lebih banyak nyawa penduduk tidak berdosa selain dikhuatiri menyebabkan krisis pelarian menjadi lebih buruk.

Bagaimanapun, Moscow mendakwa operasi ketenteraan itu dilancarkan atas permintaan rasmi Damsyik yang meminta bantuan mereka untuk memerangi kumpulan penentang seperti Barisan al-Nusra dan militan IS di negara tersebut.

Rusia turut menyatakan matlamat utama mereka dengan jelas bahawa campur tangan ketenteraan pertama selepas perang di Afghanistan itu bertujuan untuk menyokong sekutu kuatnya, rejim Presiden Bashar al-Assad.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu membuktikan kepada dunia bahawa beliau mampu membawa semangat peperangan untuk menentang gerakan militan di Syria yang tidak menunjukkan sebarang perubahan di bawah operasi ketenteraan pakatan antarabangsa diketuai AS.

Putin menegaskan bahawa konflik yang berlarutan di Syria hanya boleh ditamatkan dengan penyelesaian politik dan beliau turut mengecam pendapat mana-mana pihak yang menolak penglibatan Bashar dalam menentukan masa depan negara tersebut.

Pada peringkat awal, Moscow telah menghantar ratusan tentera termasuk puluhan pesawat pejuang dan kereta kebal bersama beberapa peralatan ketenteraan lain ke negara bergolak itu.

Berbilion ringgit juga telah dilaburkan dalam kempen ketenteraan disertai 34 jet tempur dan 21 helikopter.

Analisis dilakukan beberapa pihak seperti laman Bellingcat mendapati lebih 90 peratus daripada bom tersebut menyasarkan kawasan dikuasai IS.

“Hasil pemeriksaan ke atas 60 serangan dirakamkan Kementerian Pertahanan menunjukkan Moscow  hanya  membedil sebuah markas IS,’ jelas laporan itu.

Selain itu, Rusia mendakwa kononnya tiada orang awam terbunuh dalam misi ketenteraan yang dilancarkan sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (SOHR) mendapati lebih 400 terbunuh dan satu pertiga daripadanya adalah orang awam dalam tempoh tiga minggu selepas kempen ketenteraan tersebut dilancarkan di Syria.

Penganalisis tentera, Kolonel Mikhail Timosehenko memberitahu sasaran akan menjadi berbeza dan lebih kompleks.

“Mereka mungkin menyasarkan terlalu banyak sasaran dan kurang tepat hingga menyebabkan kesan kemusnahan lebih besar berbanding dilakukan AS,” jelasnya.

Laporan PBB menunjukkan kira-kira 120,000 penduduk dari Aleppo, Hama dan Idlib kehilangan tempat tinggal antara 5 dan 22 Oktober lalu.

Mengapa Rusia mahu terlibat dalam kekacauan di Syria? Adakah ia sebenarnya untuk melindungi akses mereka ke Mediterranean? atau kerana mahu menyertai pakatan antarabangsa untuk memerangi IS mengikut sebahagian daripada perjanjian dengan Iran.

Pelbagai spekulasi telah timbul dan agenda sebenar Moscow terus menjadi persoalan banyak pihak hingga kini.

No comments:

Post a Comment